Dua majlis rumah terbuka Krismas erat pemuafakatan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Krismas yang diadakan di sini baru-baru ini ternyata sebagai tanda bukti perhubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam keadaan matang, sihat dan membina, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi, namun, agama lain bebas diamalkan tanpa sekatan dan halangan.

“Kita berharap semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama dapat memupuk semangat permuafakatan, persabahatan, hidup aman serta damai serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun masyarakat beragama Kristian hanya berjumlah 10 peratus daripada keseluruhan penduduk negara, Krismas tetap disambut dengan penuh semangat muhibbah dan persaudaraan pada setiap tahun dengan penganut-penganut agama lain tanpa sikap prejudis serta buruk sangka.

“Amalan kunjung-mengunjung serta memberi hadiah menjadikan suasana yang lebih meriah dan ceria di seluruh negara,” ujarnya ketika MRTM Krismas di Padang Kota Lama baru-baru ini di sini.

Hadir menyerikan majlis adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurp dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sempena majlis tersebut, bantuan dana sejumlah RM10,000 masing-masing disumbangkan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan aktiviti kebudayaan di negeri ini.

Sementara itu, pada Majlis Sambutan Krismas Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dihadiri kira-kira 3,000 hadirin turut menyaksikan  sebanyak enam NGO menerima sumbangan berupa wang tunai dari Persatuan Kristian Malaysia (CFM).

Pertubuhan tersebut adalah terdiri daripada St.Vincent de Paul, Kawan Drop-In Centre, Charis Home, Asia Community Service, House of Hope dan Hospital Mount Miriam.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan CFM, Rev. Sam Surenderan merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi menjadi penganjur bersama pada majlis sambutan tersebut yang dihadiri pelbagai kaum dan agama negeri ini.

Majlis yang penuh dengan warna-warni tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan juadah tradisi Pulau Pinang.