FAP sasar bawa P. Pinang ke Liga Perdana – Foaz

Admin
MOHD. Foaz Hamid.
MOHD. Foaz
Hamid.

TRANSISI kepemimpinan tertinggi dalam Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) baru-baru ini sangat ditunggu-tunggu dengan harapan akan mengangkat semula mutu bola sepak negeri ke persada Liga Perdana kelak.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB dengan Presiden FAP yang baru, Mohd Foaz Hamid (MF).

BM : Bolehkah Tuan menjelaskan serba ringkas mengenai perkembangan terbaru dalam FAP yang sebelum ini pernah meledak perhatian banyak pihak?

MF : (Pasukan) Pulau Pinang– AUCMS ( Allianze UniversityCollege of Medical Sciences) tinggal lima perlawanan lagi selepas menang dengan Melaka 2-1 baru-baru ini.

Peluang untuk naik ke Liga Perdana boleh dengan syarat kita harus menang kesemua permainan. Saya rasa, FAP boleh melonjak naik lebih awal kembali ke Liga Perdana (dengan) syarat mempunyai pengurusan FAP yang hakiki serta profesional.

FAP sebelum ini memang diakui berdepan dengan pelbagai cabaran dan prestasi pemainan yang tidak menentu juga menarik perhatian banyak pihak.

BM : Tadi, Tuan ada menyebut mengenai hal cabaran. Apakah cabaran sebenar yang dihadapi oleh FAP.

MF : Cabaran…banyak cabarannya. Menjadi seorang presiden baru FAP pun, saya sendiri diusik dengan pelbagai cabaran. Mereka yang dekat dengan FAP lebih tahu hal yang sebenar, iaitu FAP berdepan dengan hal kewangan yang meruncing.

Hal kewangan ini dialami sejak zaman (Ahli Parlimen Bayan Baru) Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menjadi Presiden (FAP) sehinggalah jawatan nombor satu itu berpindah tangan kepada saya pada 14 April baru-baru ini. Tak perlulah mengulas mengenai kalah dan menang antara saya dan Datuk Seri (Zahrain) dalam saingan baru-baru ini. Yang penting, FAP tidak perlu menoleh ke belakang dengan menajamkan semua cabaran yang berlaku dalam FAP.

Saya dan barisan kepemimpinan baru FAP akan mara ke depan walaupun semasa saya mengambil alih FAP ini, dana yang ada tinggal hanya RM5,377 sahaja. Itulah duit yang mahu digunakan untuk pengurusan dan operasi permainan untuk musim (tahun) ini.

BM : Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini, ADUN Delima, R.S.N Rayer ada membangkitkan hal FAP kononnya menerima layanan dingin daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Adakah ‘layanan dingin’ yang dimaksudkan ini adalah FAP tidak mendapat komitmen kewangan daripada Kerajaan Negeri?

MF: Itu dulu…tetapi sekarang lain.. Pada pendapat saya, kita haruslah mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, dalam tiga bulan ini, saya serta pengurusan saya ( FA P ) p e r l u mencari dana untuk membayar s e g a l a perbelanjaan Pejabat dan Pengurusan FAP. Ini sudah masuk bulan kedua kami usahakannya, Alhamdulillah ok.

Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Lim Guan Eng dalam pertemuan baru-baru ini berkata, beliau mahu FAP ini bebas dari pengaruh politik serta fokus pada meningkatkan mutu sukan bola sepak yang sebenarnya sangat diminati oleh rakyat pelbagai kaum di negeri ini. Beliau ada meminta saya melantik seorang akuantan untuk mengemaskini akaun FAP sebagai persediaan untuk diauditkan.secara telus dan amanah. Y.A.B. Ketua Menteri juga menyaran supaya melantik sebuah firma audit antarabangsa. Kalau boleh, lantik KPMG sebagai juru audit. Akauntan dan Juru Audit ini akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri berkata pihaknya akan membantu FAP untuk menyalurkan dana tidak lama lagi. Mungkin bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun depan, FAP akan diberi perhatian.

BM : Apakah fokus Tuan selepas diberi amanah untuk memimpin FAP.

MF : Saya dan kawan-kawan dalam FAP ini semuanya ‘kaki bola’, bukan orang politik. Tentu saya nak lihat kejayaan dalam FAP ini. Setiap bulan kami memerlukan sekurangkurangnya RM50,000.00 sebulan bagi menguruskan pasukan Piala Presiden, liga Divisyen 1, 2 & 3 dan Pengurusan Pejabat.

Untuk itu, kami sedang mengatur beberapa langkah untuk mendapatkan dana kewangan.Kami sedang berusaha mendapatkan sokongan korporat selain mengadakan program berorientasikan kewangan seperti majlis makan malam kelak. Soal urus pasukan bola sepak juga perlu lebih profesional supaya kualiti pemain benar-benar layak yang akan dipilih untuk mewakili Pulau Pinang. Buat masa ini, pengurusan pemain Pulau Pinang perlu mengambil kira kontrak dengan AUCMS sebagaimana yang dipersetujui bersama oleh pengurusan Datuk Seri (Zahrain) sebelum ini.

Saya sendiri turun padang, menyaksikan sendri kualiti pemainan mereka, disiplin di padang serta kualiti latihan oleh jurulatih-jurulatih kita. Saya mahu berkongsi cita-cita dengan seluruh pemain, jurulatih sehingga peminat sukan ini, iaitu Pulau Pinang mesti mara sebagai jaguh.

Maka, saya minta semua yang terlibat dengan FAP ini fokus pada tiga perkara. Pertama, haruslah berinteraksi sesama pemain dengan pengurusan untuk meningkatkan prestasi bola sepak Pulau Pinang. Kedua, perlu ada keyakinan dan sokongan yang padu dalam kalangan rakyat terhadap pasukan bolasepak Pulau Pinang. Ketiga , meningkatkan sumber kewangan FAP sendiri supaya pemain yang benar-benar terbaik dan berkualiti boleh dipilih beraksi dalam pasukan Pulau Pinang.

BM : Sebagai pengakhiran, apakah harapan Tuan untuk FAP ini.

MF : Saya harap pasukan Pulau Pinang akan kembali ke Liga Perdana lebih awal dari yang dijangka dengan barisan pemain yang benar-benar profesional serta jujur dalam arena sukan ini. Kalau kita mempunyai kewangan yang lebih kukuh, saya bercita-cita untuk mendekatkan FAP dengan sekolah-sekolah sukan seperti Penang Free School, Sekolah (Menengah Kebangsaan) Teluk Kumbar, Sekolah (Menengah Kebangsaan) Guar Perahu dan Sekolah ( Menengah Kebangsaan) Mutiara Impian.

Mungkin dengan interaksi sebegini dapat memperkukuh pasukan Pulau Pinang dengan melahirkan pemain-pemain yang berbakat tinggi , profesional dan jujur dalam sukan ini.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya Ketua Menteri kerana komited untuk membantu FAP mengembalikan era kegemilangan bola sepak negeri.