Fasa 1 program vaksin libatkan 464 penguat kuasa PBT – Jagdeep  

Admin

AIR ITAM – Seramai 464 anggota penguat kuasa di dua pihak berkuasa tempat (PBT) Pulau Pinang bakal menerima vaksin COVID-19, dalam Fasa 1 pelaksanaan program vaksinisasi tidak lama lagi.

Bercakap kepada pemberita, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata pihaknya turut membangkitkan isu sama semasa mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang berlangsung secara dalam pada 2 Mac lalu.

“Dalam hal ini, ingin saya maklumkan bahawa sejumlah sekitar 464 anggota penguat kuasa daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu 215anggota dan Majlis Bandayara Seberang Perai (MBSP) seramai 249 anggota yang bertugas di lapangan akan turut menerima vaksin COVID-19 dalam Fasa 1 ini.

“Sehubungan dengan itu, diharapkan rakyat Pulau Pinang akan turut mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 secepat mungkin bagi membolehkan kita menang dałam perjuangan melawan COVID-19,” ujar beliau selepas menerima vaksin tersebut pada pagi ini di Klinik Kesihatan Jalan Angsana, Air Itam.

Selain Jagdeep, difahamkan, Speaker Dewan Undangan  Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang bersama-sama 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen lain turut menerima vaksin sama.

Mereka, antaranya, Teh Lai Heng (ADUN Komtar); Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam); Chris Lee Chun Kit (ADUN Pulau Tikus); A. Kumaresan (ADUN Batu Uban); R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Jelutong); Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Parlimen Balik Pulau); dan Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying.

Dalam perkembangan berkaitan, Jangdeep yang juga ADUN Datuk Keramat turut mengulas mengenai isu kes harian positif COVID-19 semalam yang direkodkan meningkat secara mendadak di Pulau Pinang, iaitu 337 kes baharu dengan melibatkan 72 warganegara dan 265 warga asing.

“Dua kluster baharu dikesan adalah Kluster Tapak Bina Queens Waterfront dan Kluster Jalan Kebun Nenas,” katanya sambil menyeru penduduk negeri agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN