Fasa 2 PPN, MBSP teruskan ops pantau skim perumahan berstrata

Admin
DUA pegawai Jabatan Pesuruhjaya Bangunan MBSP mendapatkan penjelasan daripada wakil (kanan) mengenai senarai pekerja penyelenggaraan di pejabat JMB tertentu di sini baru-baru ini.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerusi Jabatan Pesuruhjaya Bangunan akan meneruskan operasi pemantauan skim perumahan berstrata seperti biasa sungguhpun ketika ini Pulau Pinang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

SR. Rozali Mohamud

Menerusi kenyataan bertulis pada 8 Julai 2021, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamad memberitahu bahawa pihaknya akan membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta jadual bekerja di pejabat Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) bagi bangunan-bangunan kediaman berstrata.

“Selain itu, operasi pemantauan juga tertumpu pada aspek pematuhan penjarakan fizikal di dalam lif, penutupan semua fasiliti guna sama dan tiada sebarang aktiviti sosial dijalankan sepanjang tempoh fasa ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali turut menjelaskan bahawa 23 Jun lepas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah melaksanakan operasi pemeriksaan mengejut berkaitan SOP di enam skim perumahan berstrata, disusuli operasi serupa pada 2 Julai 2021.

“Operasi pemeriksaan mengejut yang dilaksanakan sebelum ini melibatkan skim perumahan di ketiga-tiga daerah di Seberang Perai.

“Hasil pemeriksaan terdapat JMB/MC yang salah faham berkenaan keperluan pendaftaran senarai pekerja penyelenggaraan harta bersama (common area) oleh pihak mereka, di bawah COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).

“Namun demikian, secara umumnya pihak berkuasa tempatan berpuas hati dengan amalan pematuhan SOP di semua lokaliti berkenaan,” jelasnya lagi.

Difahamkan, pada masa ini terdapat 1,113 kawasan pemajuan berstrata yang terdiri daripada 82,223 petak di kawasan Seberang Perai.

Mengulas perkara itu, Rozali memberitahu bahawa tujuan operasi pemeriksaan dilaksanakan oleh Jabatan Pesuruhjaya Bangunan MBSP antara lain sebagai panduan supaya semua JMB dan MC beroperasi dengan mematuhi SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP