Fasa dua PKP, kurang 10 individu di Stesen Bas Sementara Pengkalan Weld

Admin

GEORGE TOWN – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua bermula hari ini (1 April) dengan pelaksanaan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih tegas.

Sehingga jam 8.30 pagi tadi, tinjauan Buletin Mutiara di Stesen Bas Sementara Pengkalan Weld mendapati kurang 10 orang awam berada di lokasi berkenaan, walaupun kelihatan agak ramai penumpang menggunakan perkhidmatan feri ke dari Seberang Perai ke pulau.

Mungkin, mereka berkenaan memilih untuk berjalan kaki ke tempat kerja, dengan mengekalkan amalan jarak sosial tidak kurang daripada satu meter (m) yang bertujuan untuk memperlahankan penularan wabak COVID-19.

Difahamkan, bas percuma Rapid Penang CAT kecuali bagi laluan kawasan Air Itam dan Farlim masih beroperasi mengikut jadual yang terhad, iaitu 6 pagi hingga hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.

Salah seorang warga emas yang enggan identitinya diketahui umum memberitahu bahawa beliau berharap PKP sehingga 14 April 2020 tidak dilanjutkan lagi.

“Saya tahu tujuan PKP untuk perangi COVID-19, tetapi harap ia akan selesai secepat mungkin kerana susah untuk kita (selaku) warga emas untuk cari makan,” jelasnya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Bermula pada hari ini, semua orang mesti berada dalam rumah masing-masing sebelum jam 8 malam, untuk mengelak risiko ditangkap serta didakwa di mahkamah atas kesalahan ingkar PKP.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: CHAN KOK KUAN
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS