Fasa Pembukaan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang bermula esok

Admin

GEORGE TOWN – Bermula esok, 13 Mei 2020, Pulau Pinang akan memasuki Fasa Pembukaan (Fasa 3) dalam Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, bermula esok semua sektor dan aktiviti yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibenarkan beroperasi dengan tertakluk kepada tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut beliau, perkara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikan beliau pagi ini.

Mengenai aktiviti yang tidak termasuk dalam senarai larangan sebagaimana diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini, maka ia dibenarkan.

“Aktiviti rekreasi pula adalah hanya terhad di taman-taman kejiranan dan taman poket di kawasan perumahan sahaja yang mana Taman Bandaraya, Taman Metropolitan, Taman Botani, Vision Park, Empangan Mengkuang, Pantai Kamloon, Taman Pelajaran Air Hitam Dalam, hutan-hutan lipur dan simpan serta kompleks sukan, stadium dan dewan orang ramai masih ditutup,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook @ChowKonYeow tadi.

Mengulas mengenai kebenaran dine-in atau makan di dalam premis makanan, Kon Yeow memberitahu bahawa mesyuarat (JKKN) telah memutuskan ia akan dibuka secara berfasa.

Fasa 1 bermula 15 Mei 2020 membabitkan kategori hotel, pasar raya dan francais makanan segera yang mana garis panduan operasi akan diumumkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) esok (13 Mei) selepas penyelarasan daripada Exco Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Bagi premis makanan lain-lain kategori, berdasarkan nasihat JKNPP, kebenaran dine-in bakal diperhalusi pada Fasa 2 kelak dan masih belum dibenarkan,” katanya.

Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Kon Yeow memaklumkan bahawa had jumlah tetamu yang dibenarkan adalah tidak melebihi tujuh (7) orang bagi kediaman bertingkat.

Setelah mengambil kira nasihat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, kita (Kerajaan Negeri) menasihatkan agar jumlah tetamu yang ditetapkan adalah tidak melebihi tujuh tetamu bagi rumah flat atau rumah pangsa.

“(Manakala) bagi solat berjemaah pula, Kerajaan Negeri menerima pakai SOP yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan yang mana SOP ini juga tertakluk kepada agama-agama lain,” umumnya.

Dalam sidang media sama, Kom Yeow turut berkongsi empat misi utama yang terkandung dalam ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’, iaitu C.A.R.E:
1. Containing the pandemic atau Mengekang pandemik;
2. Adapting our institution to the next normal (Mengadaptasi institusi kita kepada normal baharu);
3. Rescuing people and the economy (Menyelamatkan rakyat dan ekonomi) serta,
4. Empowering community (Memperkasakan komuniti)

“Setiap Exco, jabatan dan agensi negeri perlu merancang tindakan mereka seterusnya berdasarkan Misi C.A.R.E. yang mana setiap misi ini mempunyai empat objektif penting.

“Saya yakin dengan ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’, negeri kita akan mampu bangkit semula pada kadar segera daripada kesan wabak COVID-19 ini.

“Strategi pemulihan kita hanya akan berkesan sekiranya kita sama-sama bekerjasama dan bersatu-padu. Let us CARE for one another and rebuild our state again.

“Janganlah sesekali kita leka kerana ancaman COVID-19 masih wujud, sesuaikan diri dengan normal baharu dan pada masa sama kita perlu mendepani dunia pasca COVID-19,” serunya yang turut menyarankan agar orang ramai mengurangkan pergerakan di luar dan jadikan pemakaian pelitup muka sebagai rutin apabila keluar demi keselamatan diri, orang tersayang dan komuniti setempat.

Serentak itu, Kon Yeow juga menzahirkan penghargaan kepada JKNPP yang terus menjalankan ujian saringan COVID-19 dan pemantauan menyeluruh meskipun Pulau Pinang telah diklasifikasikan sebagai ‘Negeri Hijau’ setelah tiga minggu tiada kes baharu dilaporkan.

“Bagi ujian saringan terhadap pekerja di tapak pembinaan dan sektor perkilangan pula, Exco Kerajaan Tempatan; pihak berkuasa tempatan; Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH); Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Pulau Pinang bersama-sama JKNPP sebagai penasihat teknikal akan memperhalusi SOP berkaitan dan akan diumumkan dalam tempoh masa terdekat ini,” maklumnya.

Sebagai rekod, sejak 4 hingga 10 Mei 2020, Ketua Polis Negeri melaporkan bahawa tiada tangkapan dibuat terhadap individu ingkar arahan perintah kawalan pergerakan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD