Fasa pertama Kempen Pejalan Kaki Diutamakan bermula

GEORGE TOWNN – Dalam usaha mewujudkan sebuah bandar mesra pejalan kaki, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini melancarkan fasa pertama Kempen Pejalan Kaki Diutamakan bagi mendidik para pengguna jalan raya di sini.

Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas MBPP, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, kempen berkaitan akan mengambil masa sekurangkurangnya tiga tahun untuk dilaksanakan secara berperingkat.

“Fasa pertama ini akan berlangsung selama tiga bulan khusus untuk mendidik dan mengubah kelakuan pengguna jalan raya.

“Sepanjang tempoh tersebut, Majlis akan berusaha untuk meningkatkan indeks ‘mesra pejalan kaki’, menjalankan kaji selidik awam dan merekodkan kes-kes tidak mematuhi peraturan di lintasan pejalan kaki.

“Kita (MBPP) mahukan mereka (pengguna jalan raya) agar lebih peka dan berhenti sebelum melalui lintasan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen ‘Pedestrian is King’ di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis berkaitan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Patahiyah Ismail, Ahli-ahli Majlis, Chris Lee Chun Kit, Tan Hooi Peng, Joseph Ng Soon Siang, Mhd Nasir Yahya, Nur Zarina Zakaria dan Eric Lim Seng Keat.

Menurut Muhammad Bakhtiar, kesedaran berhubung kempen tersebut bakal dijalankan menerusi iklan-iklan di akhbar dan papan iklan, hebahan menerusi radio, media sosial, edaran risalah dan penglibatan komuniti.

“Di samping itu, kami (MBPP) juga akan melancarkan video bertajuk ‘Mewujudkan Bandar Mesra Pejalan Kaki’, mewujudkan lintasan pejalan kaki baru di Lebuh Farquhar serta Jalan Burma dan memperkenalkan tanda isyarat ‘Pejalan Kaki’,” jelasnya.

Dalam pada itu, Patahiyah memberitahu bahawa MBPP telah membelanjakan RM3.34 juta pada 2015 untuk pembinaan laluan pejalan kaki yang selamat, tanpa halangan dan mesra orang kurang upaya (OKU).

“Bagi tahun hadapan (2016), dianggarkan sejumlah RM2.5 juta lagi diperuntukan untuk menaiktaraf laluan pejalan kaki di sini.

“Setakat ini, MBPP mempunyai sebanyak 115 lintasan pejalan kaki berlampu isyarat di seluruh pulau dan dua lintasan pejalan kaki tanpa lampu isyarat di Lebuh Farquhar dan Jalan Burma,’’ jelas beliau.

}