Pemeriksaan berkala elak penularan tifoid – ahli majlis

GEORGE TOWN – Wabak demam kepialu atau tifoid di Pulau Pinang dilaporkan masih dalam keadaan terkawal dengan hanya lapan kes dikesan di beberapa lokasi berasingan dari Januari hingga Oktober lalu di sini.

Perkara tersebut dijelaskan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong dengan merujuk kepada laporan online berbahasa Inggeris, The Star ketika mengulas mengenai penularan wabak demam kepialu di beberapa lokasi di ibu negara Oktober lalu.

Ah Teong berkata, meskipun jumlah tersebut masih rendah dan tidak membimbangkan, pihaknya tetap mengambil langkah serius dengan melakukan pemeriksaan secara berkala.

“Pihak Majlis telah melakukan pemeriksaan secara berkala sejak Ogos 2009.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, kita (MBPP) mendapati terdapat 90 peratus iaitu kira-kira 15,000 pengendali restoran dan kedai makan di seluruh Pulau Pinang telah mendapatkan suntikan ini (tifoid),” katanya pada sidang media di sini baru-baru.

Hadir sama, Ahli Majlis, Joseph Ng Soon Siang dan Lim Boon Beng. Gejala demam kepialu atau tifoid adalah disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi dan merebak menerusi makanan, air tercemar atau najis individu yang dijangkiti.

Mengulas lanjut, Ah Teong memberitahu bahawa suntikan tifoid adalah wajib dan ia merupakan salah satu syarat yang mesti dipenuhi oleh pengusaha serta pengendali makanan di negara ini.

“Ini adalah langkah pencegahan dalam memastikan makanan yang disediakan oleh pengendali adalah bersih dan tidak tercemar, termasuk persekitaran premis,’’ jelas beliau.