FESKOM platform pencarian atlet tempur – Exco

GEORGE TOWN – Peminat sukan tempur atau combat sports dapat melihat sendiri aksi atlet tempur pada penganjuran Festival Sukan Kombat (FESKOM) 2015 selama sebulan di Tapak Pesta Pulau Pinang.

Festival antarabangsa yang cukup sinonim dengan penganjuran tahunan berkaitan turut menampilkan kepelbagaian seni bela diri seperti pencak silat, muay thai, judo, karate do, taekwondo dan tinju.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, dalam konteks pembangunan sukan negeri, FESKOM merupakan platform dalam mengenalpasti bakatbakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Sememangnya, seni bela diri merupakan sukan penting dan berprestasi tinggi serta sering kali menjadi penyumbang kepada prospek pingat dalam sesuatu temasya sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Justeru, pembangunan sukan tempur melalui program pengukuhan atlet di peringkat akar umbi perlu dilakukan dengan serius agar negeri dan negara tidak ketandusan atlet berkebolehan pada masa hadapan terutamanya dalam membawa cabaran di persada kebangsaan serta antarabangsa,” katanya pada sidang media pengumuman FESKOM 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An dan Timbalan Pengerusi II MSNPP, Cheah Ban Cheng.

Selaras itu, Chong Eng turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri dan MSNPP telah merangka program-program pembangunan sukan meliputi latihan pengukuhan kekuatan fizikal, psikologi dan mental.

Selain atlet tempatan, FESKOM 2015 turut menampilkan penyertaan dari luar negara seperti Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura dan Vietnam

if (document.currentScript) {