GEORGE TOWN – Festival Citra Mutiara (FCM) 2026 bakal menghimpunkan kepelbagaian seni, budaya, warisan dan gastronomi Pulau Pinang dalam satu festival selama tiga hari, bermula 11 hingga 13 September ini di Lebuh Armenian.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penganjuran festival berkenaan menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang tiga hari berlangsung.
Menurut beliau, FCM 2026 bukan sahaja mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan Pulau Pinang kepada masyarakat tempatan, malah turut menjadi platform untuk menarik pelancong domestik serta antarabangsa.
“Pelbagai aktiviti seni, persembahan kebudayaan, pertandingan, pameran dan demonstrasi akan dihimpunkan dalam satu program, sekali gus berpotensi menjadikan FCM antara acara pelancongan budaya yang menarik di Pulau Pinang.
“Penganjuran ini juga memperkukuh daya tarikan George Town sebagai destinasi pelancongan budaya,” katanya ketika berucap pada sesi sidang media FCM 2026 di Kompleks Pustaka Warisan Negeri, pada 3 September 2026.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, penganjuran FCM 2026 turut selari dengan usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkukuh sektor pelancongan budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
“Festival berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk memperkenalkan produk serta hasil kreativiti mereka, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi dan membuka peluang perniagaan.
“Malah, festival ini juga menjadi titik pertemuan pelbagai etnik dan kaum di Malaysia, selain menyediakan ruang untuk pemimpin, pentadbir dan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur bertemu serta berinteraksi.
“Pada masa sama, unsur seni, budaya dan warisan tempatan dapat diperkenalkan dan dihargai, khususnya oleh generasi muda,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hon Wai berkata, penganjuran festival tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tambah Hon Wai, festival berkenaan amat bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperkukuh pelancongan berasaskan budaya dan pengalaman.
“Pelancong pada hari ini bukan sahaja mencari tempat untuk dilawati, tetapi turut ingin merasai pengalaman, mengenali budaya tempatan dan berinteraksi dengan komuniti setempat.
“Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyokong usaha memperkasakan sektor pelancongan budaya dan ekonomi kreatif supaya Pulau Pinang kekal sebagai destinasi yang bukan sahaja menarik dari segi produk pelancongan, tetapi juga kaya dengan identiti, kreativiti dan pengalaman budaya,” katanya.
Bagi edisi tahun ini, Mohd. Amran memaklumkan bahawa FCM 2026 merupakan kesinambungan daripada Festival Balik Pulau yang dianjurkan sebelum ini, namun lokasi penganjuran bagi edisi tahun ini dipindahkan ke George Town.
“Lebuh Armenian turut menempatkan pelbagai premis perniagaan dan tarikan pelancongan, sekali gus dilihat mampu memberi lebih banyak peluang kepada festival untuk menarik kehadiran pengunjung serta memastikan kesinambungan penganjurannya.
“Pemilihan lokasi dan kejayaan penganjuran festival ini juga bergantung kepada sokongan semua pihak termasuk media, agensi berkaitan serta penduduk Pulau Pinang.
“Peranan media amat penting dalam membantu mempromosikan dan membuat hebahan mengenai festival ini supaya lebih ramai pengunjung mengetahui serta hadir memeriahkan penganjuran,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perasmian Penutup FCM 2026 dijadualkan berlangsung pada 13 September ini, bermula jam 2 petang dan bakal disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib.
Antara pengisian yang disediakan sepanjang festival adalah pertandingan boria kategori cilik dan terbuka, pertandingan mewarna keluarga, sepak raga ratus, kolam (rangoli), diabolo serta Treasure Hunt – Eksplorasi Citra Mutiara.
Festival turut dimeriahkan dengan Perarakan Budaya Citra Mutiara yang melibatkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai kumpulan perarakan untuk berarak sekitar Lebuh Armenian sejauh kira-kira 800 meter.
Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan Malam Kebudayaan Citra Mutiara, Majlis Perasmian Penutup FCM 2026, pameran daripada jabatan, agensi kerajaan dan swasta serta demonstrasi makanan dan minuman warisan Negeri Pulau Pinang.
Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL