LANGKAH Kerajaan Negeri menguat kuasa larangan penuh penggunaan beg plastik sekali guna bermula 1 September lalu, menyaksikan reaksi berbeza daripada pengguna, peniaga dan pekerja perkhidmatan penghantaran.
Penguatkuasaan ini terhad kepada lapan kategori premis berwajib, iaitu pasar raya besar, pasar raya, gedung serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka di stesen minyak, rangkaian kedai serta farmasi dan klinik.
Golongan penjaja kecil dan peniaga di pasar awam masih dikecualikan buat masa ini bagi memberi ruang kepada penyesuaian terhadap alternatif yang berpatutan.
Tinjauan Buletin Mutiara di beberapa premis komersial sekitar George Town, termasuk 1st Avenue Mall dan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), mendapati majoriti premis seperti Village Grocer, Pacific Hypermarket, Watson, Kopiesatu serta restoran makanan segera A&W dan Texas Chicken telah beralih sepenuhnya kepada penggunaan beg kertas atau menggalakkan penggunaan beg guna semula.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini turut berdepan cabaran di lapangan, khususnya dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai ejen penghantaran makanan dalam talian menggunakan motosikal.
Seorang penghantar makanan dalam talian yang mahu dikenali sebagai ‘Syawal’ menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan beg kertas ketika cuaca hujan yang berisiko menjejaskan kualiti pesanan pelanggan.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengkaji semula dasar tersebut dengan mengambil kira kekangan operasi penghantar bermotosikal serta memberi kelonggaran kepada restoran makanan segera tertentu untuk menggunakan beg plastik sekali guna secara terhad.
Dalam kalangan peniaga pula, pemilik kiosk variasi sarung kaki di Konkos KOMTAR, Mohd. Jameel Haja, 49, menyokong penuh inisiatif hijau ini dengan menyediakan beg boleh terurai (degradable bag) kepada pelanggannya.
Menurut beliau, biarpun melibatkan sedikit perbezaan dari segi kos, ia merupakan langkah wajar demi kelestarian alam sekitar selepas pelbagai kempen kesedaran dijalankan sejak belasan tahun lalu.

Memperincikan kekeliruan orang awam, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang, menegaskan bahawa dasar ini tidak merangkumi keseluruhan sektor di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.
Tegasnya lagi, pihak PBT mengintegrasikan larangan ini sebagai Syarat Kelulusan Lesen Premis bagi lapan kategori perniagaan terpilih sahaja.
“Dakwaan bahawa Pulau Pinang melaksanakan larangan penuh secara menyeluruh adalah tidak tepat.
“Pembelian barangan harian seperti barang basah dan makanan kecil di pasar awam masih berjalan seperti biasa, rakyat tidak perlu panik,” jelas beliau.
Difahamkan, langkah terkini ini merupakan pemerkasaan secara berperingkat daripada kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ yang bermula seawal tahun 2009, sebelum diperketat dengan caj 50 sen pada 2017 dan caj RM1 pada hari-hari tertentu pada tahun 2021, sekali gus mengukuhkan usaha merealisasikan agenda Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah negeri bersih, hijau, sihat, selamat dan pintar.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS