Festival Durian kembali!

Admin

Oleh: A I N U L WA R D A H  SOHILLI & NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Festival  Durian Pulau Pinang kembali! Bagi penggemar ‘Raja Buah’, pastinya tidak melepaskan peluang untuk menikmati  keenakannya.

Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang berkata, Festival Durian Pulau Pinang 2013 kini telah memasuki tahun keempat penganjurannya.

“Kita (Kerajaan Negeri) menganjurkan festival sehingga hari ini bagi mempromosikan durian Balik Pulau yang terbaik kepada pelancong tempatan mahupun luar negara.

“Semua ini adalah hasil inisiatif Kerajaan Negeri untuk membangunkan durian Balik Pulau sebagai salah satu produk pelancongan.

“Malah, objektif utama selain mempromosikan durian Balik Pulau adalah untuk mempromosikan pekan Balik Pulau sebagai salah satu produk  dan destinasi pelancongan antarabangsa,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Durian 2013 Pulau Pinang yang berlangsung dengan meriahnya di Anjung Indah, Balik Pulau baru-baru ini di sini.

Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Betty Chew, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain.

Tambahnya, festival kali ini turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba makanan berasaskan durian yang unik dan eksotik.

“Datanglah bersama keluarga untuk menikmati pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang merupakan khazanah Balik Pulau yang tidak ternilai,’’ ujarnya.

Beliau memberitahu, terdapat banyak kumpulan-kumpulan pelancong asing dari Singapura dan Hong Kong melawati Pulau Pinang semata-mata ingin menikmati durian Pulau Pinang.

“Terbaru, kita menerima maklum balas sekumpulan (20 orang) dari Amerika Syarikat akan melawati Anjung Indah sebagai salah satu destinasi ‘Durian World Tour’ pada Julai nanti,” jelas Heng Kiang.

Festival Durian Pulau Pinang 2013 diadakan bermula 1 Jun lalu sehingga 31 Julai ini di dua lokasi iaitu Anjung Indah dan di Pasar Baru Balik Pulau.

Pengunjung boleh datang seawal jam 11 pagi sehingga 7 malam untuk menikmati pelbagai jenis durian antaranya ‘Ang Hae’, D2, 24, ‘Ka pi li’, ‘Ho Lor’, ‘Gan Ja’ dan ‘Cheh Phoay Kia’.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi hotline di talian 016 -411 0000.