Pelebaran Lebuhraya Thean Teik siap 70%

Admin

AIR ITAM – Pelebaran Lebuhraya Thean Teik yang dijangka siap dalam tempoh kira- kira dua bulan lagi bakal memberi keselesaan kepada penunggang motorsikal yang melalui kawasan tersebut, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai di sini baru- baru ini.

Menurut Hon Wai, projek bermula Mac lalu meliputi laluan sejauh 350 meter dengan pelebaran laluan dari 18.3 meter ke 30.5 meter kini telah 70 peratus siap.

“Asalnya, lebuhraya ini mempunyai dua laluan dan setelah siap (projek pelebaran) akan menjadi tiga laluan bagi memudahkan para pengguna lebuhraya ini sehingga ke simpang lampu isyarat Lorong Batu Lanchang ke Tokong Kim Eng.

“Pada waktu puncak, kira-kira 2,300 buah kenderaan setiap jam melalui kawasan terbabit dan diharap dengan pelebaran tersebut ia dapat memanfaatkan pengguna lebuhraya ini,” ujarnya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pelebaran Lebuhraya Thean Teik di sini baru-baru ini.