Festival Y152ZR platform usahawan muda pasarkan produk berkaitan industri permotoran

PINANG TUNGGAL – Lebih 8,000 pengunjung membanjiri perkarangan Kompleks Midtown Perda dekat Kubang Menerong bersempena penganjuran Festival Y152ZR 2019, di sini semalam.

Festival anjuran Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. dengan kerjasama FT Garage dan Drag Racing Management tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ahmad Zakiyuddin dalam ucapannya berkata penganjuran festival berkenaan membuka peluang pasaran lebih besar kepada usahawan-usahawan muda yang berkecimpung dalam bidang permotoran untuk menjual dan mempamerkan produk-produk mereka.

“Jika kita lihat di sini pelbagai barangan berkaitan permotoran dipamerkan untuk ditonjolkan dan diperdagangkan dan saya percaya ini antara pasaran terbesar yang dijalankan di negara ini.

“Saya juga percaya festival ini juga dapat menonjolkan kebolehan organisasi diterajui anak muda bumiputera dalam menganjurkan program sebesar ini dengan kos yang tinggi dan paling penting mampu meyakinkan pengunjung untuk sama-sama datang ke sini.

“Justeru, kita berharap penganjuran program ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Pengunjung bertuah yang berjaya membawa pulang sebuah motosikal.

Turut hadir, ADUN Bertam merangkap Timbalan Pengarah Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd., Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq; Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Utara, Zulkifli Rashid serta wakil-wakil penganjur.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam pembangunan negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) gagaskan Visi Penang2030 yang mana kita akan bangunkan negeri ini dengan pelbagai usaha termasuk industri, sosial, infrastruktur, persekitaran, teknologi serta modal insan.

“Saya percaya program-program seperti ini dapat menggalakkan penyertaan semua lapisan masyarakat selaras wawasan Negeri untuk menjadi sebuah negeri pintar dengan teknologi-teknologi yang lebih canggih.

“Justeru, saya berharap industri permotoran juga mendapat manfaat daripada kemajuan industri di negeri ini,” jelasnya lagi.

Antara ribuan pengunjung yang hadir.

Selain pameran dan jualan barangan berkaitan permotoran, festival berkenaan juga dimeriahkan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan pakaian bertemakan kemerdekaan, jualan pelbagai jenis makanan dan minuman serta acara cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal jenis Y152RZ.

Program bertambah meriah dengan kemunculan artis terkenal tanah air, Zizan Razak yang melancarkan topi keledar keluaran KYT NFJ.

Teks : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI