FHP mampu kukuh P. Pinang sebagai destinasi MICE

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Lim Guan Eng yakin bahawa pameran Makanan & Hotel Pulau Pinang 2014 (FHP) yang berlangsung di sini mampu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi MICE (Meeting, Incentives, Convention and Exihibition) dalam negara lantas menjadi destinasi pilihan selain Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu, dengan sasaran kehadiran 5,000 pengunjung dan penyertaan 30 negara, acara anjuran Malaysia Exhibition Services (MES) dan Malaysian Association of Hotels (MAH) dilihat mampu menarik lebih kehadiran pelancong ke negeri ini dan Malaysia.

“Industri kulinari dan pelancongan sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana makanan merupakan antara faktor Pulau Pinang terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Bila bercakap mengenai makanan, tiada negeri lain boleh menandingi Pulau Pinang dengan kepelbagaian citarasa masakan seperti nasi kandar, char kuey teow, laksa penang, cendol, pasembur dan lain-lain lagi yang cukup sinonim,” katanya pada Majlis Perasmian FHP 2014 di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, selain makanan tempatan, Pulau Pinang juga menjadi destinasi pengeksport dan pemprosesan makanan sejuk beku di peringkat antarabangsa seperti ke Eropah, Australia, Timur Tengah dan Amerika Utara.

“Hampir semua pengedar juga dimaklumkan mempunyai standard kualiti yang tinggi seperti pemilikan sijil halal dan dinilai di bawah piawaian Hazard Analysis Critical Control Unit (HACCP).

“Contohnya, produk makanan dari Australia Pacific West yang diproses oleh Iceworks Sdn. Bhd. di Butterworth yang mana ia sudah bertapak selama 40 tahun di Pulau Pinang dan menembusi pasaran antarabangsa seperti New Zealand, United Kingdom, Singapura, Brunei dan Afrika Selatan,” tambah beliau.

Katan beliau, pameran FHP disertai 250 wakil pameran industri makanan dan minuman yang julung kalinya diadakan di Pulau Pinang diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.