Pesta P. Pinang sedia platform niaga usahawan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedia menyediakan platform baik kepada para peniaga serta usahawan yang rajin dan bersih untuk berjaya di Pulau Pinang.

Beliau menyatakan perkara demikian pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang Ke-48 bertemakan ‘Jom Pi Pesta’ di Dewan Utama Tapak Pesta Sungai Nibong di sini baru-baru ini.

“Jika kita berniaga berdasarkan prinsip yang jujur, ikhlas dan bersih, saya pasti peniaga-peniaga di tapak Pesta Pulau Pinang ini akan berjaya mendapat keuntungan berganda kerana pelanggan lebih suka berurusan dengan pihak sedemikian.

“Contohnya, Astaka Bukit Gedung yang baru-baru ini memenangi pengiktirafan astaka terbaik peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama-sama Kementerian Kesihatan,” ucapnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Speaker Dewan Undangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mokhtar Jait.

Sebanyak 176 gerai jualan dan pameran merangkumi sektor elektrik dan elektronik, produk kesihatan, pelancongan, hiasan dalaman, produk berasaskan kayu, bazar tekstil, pakaian, produk kraftangan dan produk dari luar negara mengambil bahagian dalam penganjuran tahun ini.

Menurut Guan Eng, penganjuran Pesta Pulau Pinang tahun ini membawa beberapa kelainan bagi memastikan ia terus menarik para pengunjung dari dalam dan juga luar negeri.

“Antaranya, pameran lukisan tiga dimensi (3D) serta pertunjukan watak animasi Costume Play.

“Bayaran masuk yang dikenakan untuk pameran lukisan 3D adalah sebanyak RM5 bagi dewasa, kanak-kanak (RM3) yang mana harga tersebut telah disubsidikan Kerajaan Negeri,” ujar beliau.