Fiesta Sungai Perai ketengahkan aktiviti ekopelancongan di Seberang Perai

Admin

SEBERANG JAYA – Penganjuran Fiesta Sungai Perai pada 22 September lalu merupakan salah satu platform dalam mengetengahkan aktiviti ekopelancongan di Seberang Perai, kata Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Katanya, festival yang diadakan bersempena Sambutan Hari Sungai Sedunia adalah projek ketiga di bawah Pelan Tindakan Sungai Perai dalam Program Butterworth Baharu melalui kerjasama antara MPSP, syarikat Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Program seumpama ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peranan sungai dan meraikan sungai-sungai di Seberang Perai terutamanya Sungai Perai.

“Ia (festival) juga mampu memperomosikan aktiviti gaya hidup sihat dan memberi pendidikan kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai dan memelihara alam sekitar selain menjadi platform dalam mengetengahkan aktiviti ekopelancongan,” ujarnya.

Fesyen Kitar Semula antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program berlangsung.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mohamud; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhamad Yusuff Mohd. Noor; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Jurutera Daerah JPS Seberang Perai Tengah, Mohd. Nasyarul Ahmad Rizan; Pengarah Urusan ThinkCity, Hamdan Abdul Majeed dan Pengarah Urusan Zart Eventive Enterprise, Zaini Zainul.

Difahamkan, festival separuh hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran oleh agensi kerajaan, fesyen kitar semula, bengkel kayak, bengkel seruling, aktiviti menaiki bot, makan sakan, konsert dan banyak lagi.

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan, beberapa perkara berpotensi diberikan tumpuan dalam membangunkan Sungai Perai antaranya, kualiti air, pemulihan dan penyelenggaraan taman-taman rekreasi, penyediaan kemudahan dan reka bentuk yang indah serta penganjuran aktiviti ekopelancongan.

“Dengan memberi nafas baru kepada sungai yang lama diabaikan ini, orang ramai akan berkunjung ke Sungai Perai untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti berkelah, memancing, bersukan dan sebagainya,” katanya lagi.

Sementara itu, Prof. Dr. P. Ramasamy yang merupakan Timbalan Ketua Menteri II semasa merasmikan festival berkenaan berkata, sungai bukan sahaja berfungsi sebagai sumber bekalan air, malah turut mempunyai fungsi yang pelbagai seperti di Bangkok, Thailand yang berjaya menguruskan sumber air sehingga mampu menjadi tarikan para pelancong dari seluruh dunia.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF