Hasilkan mural 3D guna penutup botol, inisiatif MPSP didik masyarakat konsep penggunaan semula

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melangkah setapak lagi ke hadapan melalui program penghasilan mural tiga dimensi atau 3D menggunakan 113,190 penutup botol terpakai.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program tersebut adalah usahasama antara MPSP dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkonsepkan 7Ps yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan penggunaan semula (reuse) dan kepentingan kepenggunaan bijak.

“Penyediaaan mural ini tidak melibatkan kos yang tinggi kerana bahan utama yang digunakan adalah tudung botol minuman terpakai.

“Ini merupakan satu teladan yang baik dan saya amat berharap kerjasama dalam bentuk usahasama atau penajaan dapat ditingkatkan pada masa hadapan,” ujarnya semasa berucap pada majlis berkaitan di Pejabat MPSP dekat Bandar Perda, di sini Sabtu lalu (22 September 2018).

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis dan Ketua-Ketua Jabatan MPSP.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Seni, Pengkomputeran dan Industri Kreatif UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd. Fauzi Seson yang mengetuai projek berkenaan menyifatkan kerjasama antara dua pihak berkaitan sebagai satu simbolik tentang bagaimana cara masyarakat dapat menyumbang secara langsung dalam penjagaan alam sekitar.

“Jika kita ada inisiatif dan kreativiti, sumber-sumber yang terbuang boleh menjadi satu nilai melalui penghasilan produk baru yang boleh digunakan semula dan dihargai oleh masyarakat.

“Program ini adalah satu inisiatif permulaan dan mungkin kita (UPSI) akan adakan projek lebih besar yang berimpak tinggi dan kita berharap kerjasama lebih erat dapat dijalinkan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, penutup botol yang berjaya dikumpul tersebut disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk penggiat kitar semula, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, dua buah sekolah, empat persatuan di bawah MPSP dan seluruh pekerja MPSP.

Sebanyak empat gambar mural 3D berukuran 20′ x 8′ disediakan berdasarkan gambar-gambar pemandangan terpilih di Seberang Perai iaitu, Hutan Bukit Panchor, Hutan Pelajaran Air Itam dan di Permatang Rambai (2) dengan melibatkan 900 sukarelawan.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF