PELANTIKAN Ahli-Ahli Majlis baharu bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus perbandaran serta memastikan keperluan rakyat terus menjadi keutamaan selaras dengan Visi Penang2030.
Foo Yu Keong, Muhammad Adzlan Adzhar dan K. Deenadayalan, masing-masing membawa latar belakang profesional serta pengalaman akar umbi yang berbeza, namun berkongsi matlamat sama untuk berkhidmat secara inklusif dan berkesan.
Menurut Yu Keong, sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas dan pernah bertugas di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, yang banyak membentuk kefahamannya terhadap pentadbiran serta pelaksanaan dasar kerajaan.
“Pengalaman saya bagi perjawatan terdahulu banyak membentuk kefahaman saya tentang pentadbiran kerajaan.
“Selain itu, saya memiliki pengalaman luas dalam bidang logistik dan pengurusan, industri pelancongan serta urus tadbir awam.
“Malah, pengalaman tersebut amat relevan dalam membantu melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis MBPP,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, bagi lantikan ini, fokus utama adalah kepada pengurusan dan pembangunan infrastruktur, termasuk penyelarasan projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan serta pengukuhan sistem pengangkutan awam.
Mengulas mengenai cabaran semasa pula, Yu Keong turut menyatakan bahawa beliau masih pada peringkat awal untuk mengkaji dan memahami isu-isu utama MBPP secara menyeluruh.
“Pengukuhan pengangkutan awam melalui perluasan liputan, penambahbaikan perkhidmatan dan pengurangan pelepasan karbon adalah antara keutamaan saya.
“Peranan Ahli Majlis sebagai penghubung paling hampir dengan rakyat, dengan prinsip kerja berasaskan Input–Analysis–Execute (IAE) serta komunikasi dua hala bersama jabatan MBPP.
“Pelantikan ini merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti.
“Saya berharap usaha untuk meningkatkan Indeks Kebahagiaan dan Kesejahteraan ke arah bandar raya berkualiti tinggi dapat direalisasikan,” ujarnya.

Bagi Muhammad Adzlan, pelantikan sebagai Ahli Majlis membawa makna besar dari sudut peribadi dan profesional, selain hadir dengan pelbagai cabaran semasa.
“Sebelum ini, pengalaman saya sebagai pegawai kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan wakil rakyat, banyak memberi pendedahan mendalam terhadap pengurusan isu rakyat dan pentadbiran kerajaan.
“Cabaran utama yang saya hadapi kini adalah menangani isu setempat serta membantu rakyat, khususnya peniaga kecil dan penjaja.
“Saya percaya dengan pendekatan proaktif dan kerjasama bersama komuniti, setiap permasalahan dapat ditangani dengan lebih berkesan demi kebaikan bersama,” katanya.
Dalam tempoh perkhidmatan ini, Muhammad Adzlan turut menegaskan kepentingan pembangunan yang tidak mengorbankan hak dan kebajikan rakyat.
“Pembangunan tidak seharusnya mengorbankan hak dan kebajikan rakyat, sebaliknya mesti memberi manfaat secara adil dan menyeluruh.
“Saya berperanan sebagai pemudah cara untuk mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan, berlandaskan hukum agama serta undang-undang,” katanya lagi.
Disoal mengenai harapan, Muhammad Adzlan memberitahu bahawa beliau mahu memastikan Visi Penang2030 tercapai dan memberi kesan positif kepada negeri secara amnya.

Sementara itu, Deenadayalan yang terdahulu berkhidmat sebagai pensyarah dan jurulatih bebas, turut aktif dalam aktiviti kepimpinan dan kemasyarakatan.
“Sebelum ini, saya pernah berkhidmat sebagai pengerusi parti Cawangan Mount Erskine dan juga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Penglibatan aktif ini banyak membentuk perspektif saya dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam menyantuni keperluan masyarakat sejagat.
“Pelantikan saya sebagai Ahli Majlis MBPP boleh disifatkan sebagai satu tanggungjawab berat dan saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan serta bertekad melaksanakan amanah ini sebaik mungkin kepada semua lapisan masyarakat,” katanya bersemangat.
Antara cabaran utama, menurut Deenadayalan adalah untuk menyantuni keperluan pembayar cukai serta menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur bertaraf antarabangsa berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Prinsip saya adalah kekal komited terhadap tugasan yang dipertanggungjawabkan dan mengutamakan silaturahim sepanjang masa.
“Sebagai Ahli Majlis, saya berperanan sebagai pengantara antara pihak berkuasa tempatan dan rakyat melalui pendekatan perundingan serta penglibatan ketua komuniti.
“Justeru, saya berharap usaha Madani yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan dapat diteruskan tanpa sebarang kekangan,” jelasnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & LAW SUUN TING