Fokus pembangunan sosial jika projek infrastruktur penting sudah mula – Kon Yeow

Admin
cf3c62b7 c5d6 4001 bdd5 609fae44163f

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berhasrat memberikan fokus kepada pembangunan modal insan dan sosial masyarakat sekiranya semua projek infrastruktur penting di negeri ini sudah dimulakan kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam tempoh ini pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan sedang dan sudah disiapkan oleh Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Antara projek yang dimaksudkan adalah tambakan Penang South Island (PSI), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pembinaan transit aliran ringan (LRT), Penang Island Link (PIL), kereta kabel Bukit Bendera, projek tiga lebuh raya dan terowong, pemulihan Fort Cornwallis, projek Gurney Bay, SP Arena, Light Waterfront dan banyak lagi.

“Selain itu, projek Air Perak-Pulau Pinang serta naik taraf lebuh raya dari Juru-Sungai Dua juga sedang dalam perbincangan.

“Jika dua projek ini telah mendapat kelulusan maka apa yang saya hasratkan sudah saya tunaikan namun saya ingin beralih kepada isu-isu lain seperti pembangunan modal insan, sosial, projek budaya warisan, pendidikan, hijau, pintar dan lain-lain yang turut diusahakan oleh Kerajaan Negeri,” ujar beliau pada Majlis Jamuan Makan Malam Ramadan Ke-28 anjuran Persatuan Warisan Dato’ Koyah dekat Jalan Ariffin sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong; Lim Hui Ying; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengarah Pusat Khidmat KADUN Padang Kota/Ahli Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way; Presiden Persatuan Warisan Dato’ Koyah, Dr. Abdul Rashid  S.N. Masooth; Setiausaha Agung PERMIM dan merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Warisan Dato’ Koyah, Adam Malik Shahul Hamid; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Haja Najmudeen Kader serta barisan tetamu undangan yang lain.

Jelasnya, usaha pembangunan sosial turut termasuk dalam kerangka menuju ke arah negeri tua dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Kita akan menjadi negeri tua pertama di Malaysia dalam 10 tahun akan datang, maka kita perlu lebih banyak kemudahan yang bersesuaian dengan peringkat usia tersebut.

“Perdana Menteri pun berminat dengan isu ini, justeru beliau akan meminta Lim Siew Khim (Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam) bentang di Putrajaya apa yang Pulau Pinang lakukan mengenai aging society,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

Pada masa sama, Kon Yeow turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Persatuan Warisan Dato’ Koyah yang sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam memelihara makam yang berstatus warisan UNESCO Kelas 1 walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN