Fort Cornwallis penanda aras pemuliharaan warisan, pemangkin ekonomi – Kon Yeow

Admin
0958ed97 132a 4115 be03 a9aaf22e3bc3 ANWAR Ibrahim (tiga dari kiri) dengan diiringi Ketua Menteri (dua dari kiri), Zulkifli Long (kiri sekali), Mohamad Abdul Hamid (dua dari kanan) dan seorang lain semasa. Acara menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Pembukaan Ford Cornwallis di sini pada 25 Julai 2026.

GEORGE TOWN – Fort Cornwallis secara rasminya dibuka semula mulai hari ini untuk pengunjung tempatan dan pengembaran antarabangsa, selepas kira-kira sedekad sejak tahun 2016 melalui kerja-kerja pemeliharaan serta pemuliharaan yang menelan belanja hampir RM50 juta.

85282cf9 833d 45b4 aaac 395142518637
KETUA menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan kehadiran Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim merasmikan projek pembukaan semula tapak warisan dunia tersebut sekali gus mencerminkan komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bersama-sama semua pihak berkepentingan lain dalam memelihara dan memulihara warisan ketara di negeri Pulau Pinang.

“Kejayaan yang diraikan hari ini adalah hasil sinergi pelbagai pihak yang berkongsi visi menjadikan warisan sebagai pemangkin pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Transformasi Padang Kota Lama dan Fort Cornwallis membuktikan bahawa warisan bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi aset strategik yang memperkukuh identiti negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota Lama merangkap Ahli Patlimen Batu Kawan dalam majlis berkenaan di sini pada 25 Julai 2026.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa dengan pembukaan semula Fort Cornwallis, ia dapat dijadikan penanda aras bahawa khazanah warisan negara mampu terus dipelihara sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kemajuan Malaysia secara keseluruhannya.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa Fort Cornwallis merupakan salah satu daripada 14 komponen projek di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang (Penang Northern Seafront Masterplan).

Projek-projek lain di bawah pelan induk tersebut antaranya, projek pengukuhan serta penambahbaik tembok penahan ombak; Menara Jam Queen’s Victoria; Linear Garden dan Astaka Kota Selera.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa projek projek pengukuhan dan penambahbaik tembok penahan ombak telah mendapat Anugerah UNESCO Asia Pacific bagi Kategori New Design in Heritage Context and Sustainable Development, pada Februari lepas.

Sementara itu, tambah beliau, projek pembangunan semula Astaka Kota Selera turut mendapat Anugerah Emas & Building of the Year pada Julai lepas, daripada Persatuan Arkitek Malaysia (PAM)

Sehubungan itu, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Khazanah Nasional Berhad melalui anak syarikatnya, Think City Sdn. Bhd.; Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town Sdn. Bhd. (GTCDC) dan The Aga Khan Trust for Culture (AKTC) atas sumbangan dana, khidmat perunding, kepakaran serta nasihat dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan dunia di sini selama ini.

25654b2c 34a3 4234 880b 170286617a53
PERDANA Menteri (tengah, kiri) bersama-sama Ketua Menteri (tengah, kanan) bersama-sama menyempurnakan acara gimik pembukaan pintu kota kubu Fort Cornwallis, sambil disaksikan oleh barisan pemimpin lain pada petang tadi.

Dalam ucapan perasmian selepas itu, Anwar berkata bahawa usaha memodenkan negara dan memajukan ekonomi perlu berjalan seiring dengan pemeliharaan sejarah serta budaya tempatan bagi mengelakkan negara menjadi maju tetapi gersang nilai pembentukannya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan bahawa dengan pembukaan semula tapak warisan bersejarah seperti Fort Cornwallis, ia bukan sekadar memperlihatkan monumen era penjajahan, sebaliknya menjadi pengajaran penting buat generasi muda tentang lipatan sejarah pahit negara.

“Kota mungkin maju dan hebat, teknologi moden, tetapi gersang budayanya.

“Sebab itu, kita harus belajar… pemuliharaan ini bukan untuk mengagungkan penjajah seperti Francis Light, tetapi untuk mengajar anak-anak kita tentang getirnya nasib negara apabila kita tidak mempunyai kekuatan sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyeru sekalian rakyat yang berbilang kaum untuk tekun belajar mengenai sejarah jatuh dan bangun negara ‘nation’ moden Malaysia ini, serta saling memperkukuh semangat perpaduan demi kemakmuran ekonomi secara bersama.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long antara pemimpin negeri yang menyertai acara perasmian pembukaan semula Fort Cornwallis di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH RAHMAT
Video : NURATIKAH RAHMAT