BESUT, TERENGGANU – Seramai 50 peserta mewakili 29 jabatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyertai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Besut sebagai manifestasi keprihatinan serta sokongan terhadap usaha pemulihan individu yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan daripada penagihan dadah.
Program tersebut bukan sahaja bertujuan memperkukuh budaya tempat kerja bebas dadah, malah menjadi platform untuk menyemai nilai kemanusiaan, kebersamaan dan sokongan moral kepada penghuni PUSPEN dalam usaha membina semula kehidupan yang lebih baik.
Walaupun berdepan cuaca panas, semangat peserta dan penghuni PUSPEN Besut tidak luntur apabila bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan dalam suasana penuh ceria dan harmoni.
Antara pengisian program adalah Explorace Interactive, senam zumba, sesi curhat, permainan tradisional seperti congkak dan karom serta sukaneka yang membuka ruang kepada peserta dan penghuni untuk berinteraksi, mengeratkan silaturahim, membina keyakinan diri serta memupuk semangat kerjasama.

Pada program sama, Ketua Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Faizal Che Meh menyampaikan sumbangan barangan elektrik dan pelbagai keperluan lain kepada pihak PUSPEN Besut sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemulihan yang dilaksanakan.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan penghuni sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan mereka sepanjang mengikuti program pemulihan.
Hadir sama, Pengarah PUSPEN Besut, Wan Jalani Wan Ismail serta Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang, Mohd. Zaki Ablah, yang bersama-sama menyatakan komitmen dalam memperkukuh kerjasama antara agensi serta jabatan kerajaan bagi menjayakan agenda Tempat Kerja Bebas Dadah.
Program CSR TEKAD itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyokong usaha pencegahan penyalahgunaan dadah melalui pendekatan berteraskan keprihatinan, sokongan komuniti dan pemulihan holistik.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi berkaitan, di samping menyemarakkan budaya saling membantu dan memberi inspirasi kepada penghuni PUSPEN untuk bangkit membina masa depan yang lebih sejahtera serta bebas daripada ancaman dadah.
