Gambier Heights terima RM400,000 naik taraf lif, peruntukan tertinggi TPM80PP KADUN Batu Uban

Admin

GEORGE TOWN – Demi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berikhtiarkan mencari solusi bagi membantu menaik taraf enam unit lif di pangsapuri kos rendah, Gambier Heights dekat Persiaran Bukit Gambir, Batu Uban.

Ternyata, ia membuahkan hasil apabila beliau berjaya menerima peruntukan berjumlah RM400,000 melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

A.Kumaresan.

Ketika ditemui di Komtar baru-baru ini, beliau memberitahu bahawa pangsapuri Gambier Heights telah dibina sejak 30 tahun lalu dan mempunyai lima buah kondominium 23 tingkat dengan jumlah unit kediaman mencecah 730.

 

“Selain itu, terdapat 14 buah lif di pangsapuri berkenaan sebagai kemudahan penduduk di situ yang mana enam daripadanya telah gagal berfungsi.

 

“(Dan) dana yang diperoleh ini, bakal digunakan untuk membaik pulih kerosakan lif tersebut yang mana merupakan peruntukan tertinggi yang diluluskan bagi dana penyelenggaraan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban.

 

“Sejak saya memegang jawatan sebagai ADUN Batu Uban pada Mei 2018, sebanyak 40 permohonan penambahbaikan di KADUN Batu Uban telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.2 juta.

 

“Saya yakin bahawa Kerajaan Negeri sememangnya komited dalam menyediakan peruntukan bagi menjalankan kerja-kerja penaiktarafan, penyelenggaraan serta meringankan beban pemilik rumah kos rendah dan kos sederhana.

 

“Terima kasih kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang telah banyak membantu terutamanya membabitkan dana bagi penggantian lif, tangki air, bumbung, tiang lampu dan lain-lain penarafan lagi,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang cakna akan keperluan rakyatnya.

 

Sebelum ini, Kumaresan berkongsi khabar gembira tersebut melalui paparan di laman Facebook beliau bertarikh 3 September yang mana beliau amat bangga dengan kepimpinan dan tadbir urus Kerajaan Negeri Pakatan Harapan dalam menyediakan dana untuk penyelenggaraan.

 

Pada kesempatan sama, Kumaresan berharap pihak kontraktor dapat menjalankan kerja-kerja penarafan dengan cekap dan berhati-hati bagi mengelakkan timbulnya sebarang permasalahan.

 

“Saya amat menekankan kualiti kerja terutama melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penarafan.

 

“Justeru itu, saya telah mencadangkan kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) agar menyenaraihitamkan mana-mana pihak kontraktor yang tidak mematuhi peraturan penyelenggaraan dengan betul,” tegasnya.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD