Gangguan elektrik di Bukit Mertajam dijangka pulih sepenuhnya menjelang malam ini

Admin

GEORGE TOWN – Beberapa kawasan di sekitar Bukit Mertajam seperti Alma, Machang Bubok dan Jalan Rozahan yang mengalami gangguan elektrik pada 11 Ogos lalu dijangka pulih sepenuhnya menjelang malam ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Perkhidmatan Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pulau Pinang, U Ananda Rani pada satu sidang media yang diadakan dekat Komtar sebentar tadi.

Ananda berkata, gangguan yang berlaku tempoh hari yang menjejaskan kira-kira 15,000 pengguna adalah disebabkan kegagalan transformer pada pencawang pembahagian utama (PPU) di Jalan Rozahan hingga mengakibatkan 113 pencawang kecil lain tidak dapat menerima bekalan elektrik.

Maklum mengenai hal tersebut, pihak TNB telah memberikan bantuan segera seawal 30 minit pertama… di mana selepas tempoh 189 minit iaitu lebih kurang tiga jam… kesemua 100 peratus (113 pencawang) telah pulih sepenuhnya.

Keesokannya, sekumpulan unit forensik daripada TNB Kuala Lumpur telah datang untuk membuat siasatan ke atas transformer tersebut dan punca kejadian masih belum diketahui,” ujarnya sambil berkata kegagalan PPU tersebut bernilai hampir RM1.3 juta yang terpaksa ditanggung pihak TNB kini.

Menurut Ananda, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang dan bekalan elektrik di kawasan Bukit Mertajam lebih kukuh dalam tempoh jangka masa panjang, pihaknya (TNB) kini dalam proses melaksanakan empat buah projek dengan nilai keseluruhan RM4.6 juta di kawasan berkenaan.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari, Chong Eng (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Padang Lalang), Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubok), Heng Lee Lee (ADUN Berapit) dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Timbalan Menteri Belia & Sukan Malaysia).

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Zairil memaklumkan bahawa, kegagalan transformer tersebut adalah di luar jangkaan ekoran pihak TNB akan melakukan penyelenggaraan setiap tiga bulan bagi memastikan semuanya berada di dalam keadaan baik.

Malah, saya difahamkan PPU berkenaan yang terjejas baru sahaja diselenggara sebulan yang lalu.

Punca masalah belum dipastikan, dan kita berharap orang ramai di kawasan terjejas akan memberikan kerjasama kepada pihak TNB untuk menyelesaikan kerja-kerja akhir bagi menggantikan generator set sementara (yang digunakan sejak 11 Ogos lalu) hari ini sebelum bekalan pulih sepenuhnya seperti sedia kala,” ujarnya.