Kontrak Rozali akan disambung sehingga 2019, respons KM

BAGAN DALAM – Kontrak perjawatan Dato’ Sr. Rozali Mohamud sebagai Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan disambung 18 bulan lagi, sehingga tahun 2019.

Menjawab soalan pemberita, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dijadual esok, antara lain akan membincangkan mengenai isu berbangkit ini.

“Mesyuarat Exco akan memperbaharui serta menyambung kontrak beliau sebagai Yang di-Pertua Majlis, mungkin sehingga tahun depan (2019),” responsnya selepas selesai lawatan kerja di tapak projek Penang Sentral di sini 14 Ogos 2018.

Difahamkan, tempoh perjawatan Rozali sebagai YDP MPSP tamat semalam (13 Ogos 2018).

Sebelum dilantik sebagai YDP bagi MPSP pada 3 Julai 2017, Rozali merupakan Setiausaha Perbandaran bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) sama.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD