Garis panduan pasang bendera parti dikuatkuasa

GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini memutuskan untuk menguatkuasakan dengan serta merta garis panduan pemasangan bendera parti politik di Daerah Timur Laut (DTL) dan Daerah Barat Daya (DBD) di sini.

Pengerusinya, Ong Ah Teong berkata, setiap permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya tiga hari sebelum pemasangan bendera di lokasi dengan bayaran deposit sebanyak RM150 untuk 100 unit bendera dan seterusnya mengikut kadar yang telah ditetapkan.

“Wang deposit akan dirampas tanpa sebarang pemberitahuan sekiranya bendera tidak diturunkan dalam tempoh dua hari selepas program dijalankan.

Lanjutan itu, penalti RM10 untuk setiap unit bendera bakal dikenakan pihak MPPP yang terpaksa menurun serta merampas bendera-bendera berkenaan.

“Bendera-bendera yang dirampas akan diberikan semula berserta denda RM50 sehari bagi tujuan penyimpanan selepas tarikh ianya dirampas. Tempoh penyimpanan hanya dihadkan kepada dua minggu, sekiranya tidak dituntut, ia (bendera-bendera) akan dilupuskan,” katanya pada satu sidang media selepas tamatnya Mesyuarat Biasa Majlis MPPP di Dewan Bandaran, Padang Kota Lamabaru-baru ini di sini.

Menurut Ah Teong, garis panduan tersebut diwujudkan sebagai satu cara pengawalan pemasangan bendera parti politik supaya ia lebih teratur, tidak menimbulkan gangguan dan menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

 

Garis panduan ini diwujudkan kerana sebelum ini, pemasangan bendera parti-parti politik dipasang sewenang-wenangnya tanpa kawalan sehingga mencacatkan pandangan dan nilai estatika, tidak mematuhi syarat-syarat sewajarnya serta tiada had tempoh untuk menurunkan selepas sesuatu acara.,’’ ujarnya.

Tambahnya, peraturan tersebut akan digunapakai oleh mana-mana parti politik sama ada parti pemerintah, pembangkang, parti bebas dan lain-lain berkenaan untuk tujuan mengadakan acara, sambutan ataupun ketibaan orang-orang kenamaan.

ONG Ah Teong.
ONG Ah Teong.