Tunjuk bukti isu beli air – Hock Seng

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow dipersoal sama ada berani untuk meletak jawatan sekiranya gagal membuktikan dakwaan beliau bahawa Pulau Pinang bersetuju membeli air daripada Sungai Muda melalui perjanjian pembekalan air mentah dengan Kedah baru-baru ini.

Persoalan tersebut diutarakan Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng dalam kenyataan beliau di sini.

Katanya, Chang Yeow dipetik dalam suratkhabar sebagai mempersoalkan kenapa terdapat kenyataan yang bercanggah daripada Kerajaan-kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah mengenai perjanjian pembekalan air mentah ekoran baru-baru ini, Dewan Undangan Negeri Kedah telah meluluskan bajet di mana keuntungan akan ditingkatkan melalui pembayaran daripada Pulau Pinang untuk air daripada Sungai Muda walaupun tiada sebarang perjanjian bertulis mengenainya.

“Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jaseni Maidinsa telahpun menafikan perbincangan atau persetujuan untuk membayar Kedah untuk air daripada Sungai Muda.

“Teng (Chang Yeow) berkata bahawa beliau lebih cenderung untuk mempercayai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam hal ini, justeru membayangkan bahawa Lim (Guan Eng) menipu dan ingin mengelirukan pihak awam.

“Ini merupakan dakwaan terhadap Lim (Guan Eng) yang serius, berunsur fitnah dan berasaskan penipuan,’’ tegas beliau.

Menurutnya, bolehkah Chang Yeow membuktikan dakwaannya dengan dokumen atau surat yang menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk membayar Kedah?

“Beranikah Teng (Chang Yeow) letak jawatan sebagai pengerusi BN Pulau Pinang jika beliau tidak dapat membuktikan dakwaan jahatnya bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk membayar Kedah bagi air daripada Sungai Muda melalui perjanjian pembekalan air mentah dengan Kedah?’’ soal Hock Seng.

Tambahnya, jika Chang Yeow boleh membuktikan dakwaannya, beliau bersedia untuk letak jawatan sebagai Ahli Exco dan menerima tanggungjawab.

“Dakwaan Teng (Chang Yeow) adalah palsu kerana tiada sebarang perjanjian atau dokumen mengenai pembekalan air tersebut telah ditandatangani.

“Malah, tiada sebarang pengumuman pun daripada pihak Kerajaan Negeri ataupun apa-apa pembayaran yang termasuk dalam bajet negeri Pulau Pinang yang diluluskan pada awal bulan ini,’’ jelasnya.

Malah, Hock Seng memberitahu, sebelum ini, Ketua Menteri telah menelefon Azizan yang telah mengesahkan bahawa tiada dokumen bertulis daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyatakan persetujuan tersebut.

“Jika Kerajaan Negeri Kedah telah memasukkannya sebagai hasil dalam bajet mereka, maka, penjelasan harus didapatkan daripada pihak mereka. Tidak seperti Teng (Chang Yeow), kita tidak suka meletakkan ayat ke dalam mulut orang lain.

“Integriti Teng (Chang Yeow) kini dipertaruhkan – bolehkah beliau membuktikan persetujuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membayar negeri Kedah dengan dokumen bertulis?

“Jika beliau boleh, saya akan letak jawatan.

Jika tidak, Teng (Chang Yeow) harus letak jawatan dan menerima tanggungjawab penuh atas cubaan untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang dengan cara yang begitu tidak jujur,’’ tegas beliau.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan, Hock Seng menjelaskan bahawa, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Pembangunan Luar Bandar Kedah, Ir. Phahrolrazi Zawawi telah mengesahkan bahawa tiada sebarang rundingan dijalankan dengan Pulau Pinang berkaitan pembayaran caj air mentah seperti yang dihebahkan dalam akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian awal, di mana tiada sebarang pembayaran akan dibuat ke atas caj air mentah memandangkan ianya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai hak atas penggunaan saliran air.

“Teng Chang Yeow (Chang Yeow) seharusnya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang memandangkan beliau gagal menunjukkan bukti.

“Terdahulu, saya mencabar tunjuk bukti dan dia gagal, maka perlu letak jawatan.

Sekiranya dia (Chang Yeow) tidak meletakkan jawatan, ia menunjukkan dia seorang yang tidak berintergriti dan bermoral,’’ tegas Hock
Seng.

LIM Hock seng
LIM Hock Seng.