Gelanggang bola keranjang berbumbung A-Zone diharap yang terbaik

SEBERANG JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berharap ekoran inisiatif penambahbaikan gelanggang bola keranjang A-Zone dekat sini, ia selanjutnya dapat menjadi gelanggang (bola keranjang) berbumbung terbaik di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika hadir mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah RM20,000 kepada Pertubuhan Perayaan Yee Lan Seberang Jaya yang merupakan badan bertanggungjawab menyelia gelanggang tersebut.

“Saya harap gelanggang ini akan menjadi gelanggang yang terbaik dalam negeri Pulau Pinang selepas ia dinaik taraf kelak.

Tambahan pula, gelanggang Akira (kini A-Zone) ini sering menjadi tumpuan terutamanya golongan belia yang meminati sukan bola keranjang.

“Sebagai makluman, proses penarafan gelanggang ini sudah bermula kini dan dijangka siap dalam tempoh tiga minggu seterusnya,” katanya pada majlis penyerahan cek sumbangan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, beberapa ahli Pertubuhan Perayaan Yee Lan Seberang Jaya. Menurut Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, sumbangan RM20,000 tersebut merupakan tambahan peruntukan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM100,000 sebelum ini.

Difahamkan, kerja-kerja penarafan yang bakal dilaksanakan termasuk, pendawaian semula kabel elektrik, tukar ganti lampu, membaik pulih lantai dan pengecatan semula.