Trek joging berlampu Seberang Jaya pilihan umum bersenam malam, keselamatan lebih terjamin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIZ

SEBERANG JAYA – Trek joging malam berlampu dekat jajaran Sungai Pertama berhampiran kawasan Rekreasi Taman Tunku di sini merupakan yang pertama di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis perasmian projek penarafan tersebut memberitahu bahawa fasa ketiga pemasangan lampu limpah di sepanjang laluan joging dekat kawasan rekreasi Taman Tunku akan diteruskan demi memenuhi hasrat penduduk tempatan.

“(Projek penarafan) ini akan menjadi satu lagi pilihan kepada semua orang awam untuk bersenam pada sebelah malam, dengan keselamatan mereka lebih terjamin,” katanya di sini 15 Januari lalu.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng serta Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Mewakili warga penduduk Seberang Jaya, Afif pada sidang media sama turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng kerana turut mengumumkan hasrat pelaksanaan fasa ketiga projek penarafan kemudahan rekreasi awam di sini.

“Keseluruhan kos pemasangan tiang konkrit serta lampu jalan dalam fasa satu dan fasa dua projek penarafan tersebut menelan belanja RM103,200,’’ jelasnya.