Gelanggang futsal bakal dibina di Bkt. Gedung

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BATU MAUNG – Sebuah gelanggang futsal bakal dibina di kawasan Bukit Gedung ekoran pembentangan Belanjawan 2013 oleh Ketua Menteri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim pada majlis gotong-royong anjuran DUNnya di perkarangan Surau Al-Ubudiyah, Bukit Gedung di sini baru-baru ini.

Tambah Abdul Malik, satu lagi projek kesihatan khas untuk wanita adalah Program Kesihatan Bebas Barah Payu Dara Pulau Pinang, yang mana Kerajaan Negeri di bawah peruntukan ADUN bakal menyediakan pemeriksaan mamogram secara percuma kepada golongan
wanita.

“Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan bagi satu DUN satu gelanggang futsal dalam belanjawan 2013, maka, kawasan Bukit Gedung akan menerima manfaat ini apabila sebuah gelanggang futsal bakal didirikan di sini,” ujarnya di sini.

Mengulas mengenai penganjuran program gotong-royong berkenaan, beliau menyatakan bahawa ia adalah bagi menggalakkan budaya
menjaga kebersihan dalam kalangan penduduk sekitar khususnya.

“Adalah penting untuk semua lapisan masyarakat menerapkan semangat menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih bersih.

 “Kita mestilah menjaga kebersihan diri, keluarga, rumah, kawasan dan negeri. Tidak boleh mengharapkan kontraktor pembersihan semata-mata kerana ini adalah tanggungjawab bersama.

“Apabila rumah, kawasan sekitar dan negeri bersih, barulah semua masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan sihat,”
ujarnya.

Program tersebut turut memperoleh kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Turut diadakan adalah pameran dari Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perpustakaan Bergerak dan demonstrasi kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Hadir sama, Ahli Majlis MPPP, Ramlah Bee Asiahoo.

KANAK-kanak tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat caracara menggunakan hos air pasukan Bomba dan Penyelamat yang turut serta dalam Majlis Gotong-royong bersama penduduk Bukit Gedung di perkarangan Surau Al-Ubudiyah baru-baru ini. Turut kelihatan adalah Abdul Malik Abul Kassim (barisan belakang, berkaca mata).
KANAK-kanak tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat caracara
menggunakan hos air pasukan Bomba dan Penyelamat yang turut serta
dalam Majlis Gotong-royong bersama penduduk Bukit Gedung di perkarangan
Surau Al-Ubudiyah baru-baru ini. Turut kelihatan adalah Abdul Malik Abul
Kassim (barisan belakang, berkaca mata).