Gelanggang futsal untuk belia Penaga

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

SEBAHAGIAN peserta Kejohanan Futsal Piala PPK Penaga bergambar kenang-kenangan bersama piala dimenangi masing-masing di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta Kejohanan Futsal Piala PPK
Penaga bergambar kenang-kenangan bersama
piala dimenangi masing-masing di sini baru-baru
ini.

PENAGA – Sebuah gelanggang futsal akan dibina di atas tanah milik Kerajaan Negeri seluas empat ekar di Guar Tuan Syed dan usaha tersebut dilihat bakal menjadi tarikan kepada golongan belia untuk menjalankan aktiviti riadah di samping membentuk masyarakat yang sihat di sini.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penaga, Rosidi Hussain, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) telah mengadakan tinjauan di kawasan tersebut dan mengenalpasti lokasi yang bersesuaian.

“Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas mendapat kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Futsal Piala PPK Penaga pada 11 Disember lalu di Padang Sekolah Menengah Permatang Tok Labu di sini.

Dalam kejohanan tersebut, sebanyak 20 pasukan telah mengambil bahagian terdiri daripada belia di seluruh kawasan Penaga anjuran Pusat Khidmat PPK Penaga dengan kerjasama Belia Qaryah Rantau Panjang dan Dewan Pemuda Pas Kawasan Kepala Batas.

Pasukan Bob FC dari Permatang Janggus telah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM500. Manakala, pasukan Cap Senapang dan Bakar Kapur FC masing-masing telah muncul sebagai Naib Johan dan tempat ketiga.