Gelanggang ‘pickleball’ awam pertama di Pulau Pinang

Admin
img 1673

SERI DELIMA – Selaras Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, ‘Pickleball Seri Delima’ merupakan sebuah inisiatif yang menggalakkan seisi keluarga untuk terus aktif bersukan dan menjalani kehidupan yang sihat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata, gelanggang yang terletak di Taman Kejiranan Lintang Delima 10 merupakan gelanggang ‘pickleball’ awam yang pertama di Pulau Pinang.

“Sukan ‘pickleball’ amat popular di negara Amerika Syarikat dan kini mencuri perhatian masyarakat di negara kita, saya amat berbesar hati Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima sentiasa di hadapan dalam menggalakkan gaya hidup sihat.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri turut menyokong setiap kegiatan aktiviti sukan yang dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan cerdas dalam usaha pembangunan sosial.

“Malah, secara tidak langsung, ia akan mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang datang dari pelbagai latar belakang,” ujarnya semasa majlis pelancaran program berkenaan baru-baru ini dekat sini.

img 1682
SUASANA sekitar gimik pelancaran ‘Pickleball Seri Delima’ yang diadakan baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli Majlis bagi MBPP, Quah Boon Lim dan Ahli Persatuan Pickleball Pulau Pinang, Datuk Cheam Shaw Lee serta Ahli-ahli Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) N32 Seri Delima.

Mengulas lanjut, Hooi Peng turut mengambil kesempatan menyeru mereka yang berminat untuk sama-sama menyertai acara sukan ‘pickleball’ yang diadakan setiap minggu.

“Untuk makluman, bagi yang berminat untuk menyertai boleh datang ke gelanggang ini pada setiap hari Khamis bermula jam 8.00 sehingga 10.00 malam.

“Tiada caj bayaran yang dikenakan, bahkan jurulatih profesional turut hadir bagi memberi bimbingan terhadap peserta yang memerlukan tunjuk ajar.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Majlis Boon Lim yang bermurah hati menyumbang peruntukan bagi segala kelengkapan peralatan sukan ‘pickleball’ ini,” tambahnya lagi.

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL