Rapid Penang, USM jalin kerjasama perkenal laluan khas baharu

Admin
img 1799

BATU UBAN – Selari dengan fokus untuk memperkasakan kebajikan, komuniti dan kelestarian, Rapid Penang bersama-sama Universiti Sains Malaysia (USM) menjalinkan kerjasama dengan memperkenalkan laluan baharu perkhidmatan T310.

Ketua Wilayah Utara Rapid Bus Sdn. Bhd., Ahmad Shabuddin Abdullah memaklumkan bahawa perkhidmatan ini merupakan inisiatif dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Pulau Pinang termasuk para pelajar.

“Untuk makluman, perkhidmatan ini meliputi jarak perjalanan hampir 15 kilometer (km) yang merangkumi 35 hentian dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak manakala 30 minit semasa waktu bukan puncak.

“Saya turut difahamkan, antara tempat yang sering menjadi tumpuan pelajar USM merupakan Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong, Kompleks Bukit Jambul dan Queensbay Mall yang turut disertakan sekali dalam laluan baharu ini.

“Justeru, laluan khas ini bakal memberi kemudahan pergerakan secara khusus kepada mahasiswa serta warga USM dan juga penduduk setempat, malah, secara tidak langsung dapat meminimumkan penggunaan kereta di sini,” jelasnya sewaktu majlis pelancaran pagi tadi.

img 1789

img 1792
GIMIK pelancaran ‘flag off’ yang diadakan sebentar tadi, dif-dif kehormat turut berkesempatan menaiki bas berkenaan.

Hadir sama, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta barisan dif-dif kehormat yang lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabuddin turut berharap inisiatif tersebut dapat membuka lembaran baharu dalam perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang.

“Sebanyak tiga bas Rapid Penang T310 bakal disediakan untuk kegunaan kira-kira 18,000 pelajar yang menetap di dalam USM, oleh itu diharapkan kemudahan ini dapat memberi manfaat yang menyeluruh untuk semua.

“Dalam pada itu, selain pelajar, pengguna pengangkutan awam lain juga digalakkan untuk melanggan Pas Mutiara My50 yang menawarkan perjalanan tanpa had selama 30 hari dengan hanya perlu membayar sebanyak RM10 manakala RM5 bagi pengguna berstatus orang kurang upaya (OKU) untuk Pas OKU ‘Smile’,” ulasnya lanjut.

f0651e3b d339 472f a43e d3a70f433f48
BUTIRAN laluan khas baharu.

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL