Gelanggang Sukan Rakyat 3 dalam 1 siap

gelanggangfutsalpenaga

BARISAN pemain muda bergambar kenang-kenangan bersama Ketua Menteri dan Rosidi Hussain bersempena Majlis Pelancaran Gelanggang Sukan Rakyat di sini baru-baru ini.

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

PENAGA – Gelanggang Sukan Rakyat 3 dalam 1 – futsal, takraw dan bola jaring membabitkan peruntukan RM150,000 di atas tanah
Kerajaan Negeri siap dibina di Kampung Guar Tuan Syed di sini baru-baru ini.

Ini bermakna, pembinaan gelanggang yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat terutama
anak-anak muda siap dibina dalam tempoh empat bulan selepas majlis pecah tanah yang berlangsung Mei lalu.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Penaga, Rosidi Hussain berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) amat mengutamakan pembangunan rohani dan jasmani rakyat dengan insiatif mewujudkan fasiliti sedemikian.

“Kita mahukan masyarakat Penaga, khususnya anak muda di sini lebih sihat, lebih cergas fizikal serta cerdas akalnya melalui program-program yang bakal dianjurkan di sini.

“Justeru, gunakanlah gelanggang rakyat ini dengan sebaik mungkin bagi kepentingan bersama,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Gelanggang Sukan Rakyat di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut hadir, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Jusni Ismail; Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang
Perai, Rozali Mohamud; Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Mohd. Anuar Hashim; PPK Bertam, Asrol Sani Abdul Razak dan PPK Pinang Tunggal, Muhasdey Mohamad.

Rosidi menyatakan, bagi tempahan penggunaan gelanggang tersebut, pihak yang berminat boleh menghubungi Pembantu Pejabat PPK Penaga, Ridwan Osman pada talian 013 – 436 3559 untuk maklumat lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penganjuran Pertandingan Futsal Piala PPK Penaga yang bakal diadakan pada 11 November ini dengan tawaran hadiah bernilai RM1,000.