CAT teras kejayaan negeri

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN BARU – Prinsip asas Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) menjadi penyumbang pada kejayaan dikecapi Pulau Pinang hari ini.

Selain menerapkan budaya kerja berprestasi tinggi dan berkemahiran dalam tadbir urus, Pulau Pinang kini turut menjadi pilihan para pelabur dan penggiat industri di peringkat global.

Penambahbaikan sistem pengangkutan, menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pertumbuhan sektor pelancongan perubatan dan pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedikit sebanyak menyumbang kepada pencapaian negeri kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sejak empat tahun lalu, Pulau Pinang telah mencapai pelbagai kejayaan dengan menjadi juara pelaburan terutama dalam sektor pembuatan pada tahun 2010 dan 2011 dengan jumlah keseluruhan mencapai RM21.3 bilion.

Malah, Pulau Pinang turut menyumbang 30 peratus daripada jumlah FDI (pelaburan asing) negara dan 50 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010.

Kita (Pulau Pinang) juga telah mengurangkan jumlah hutang negeri sebanyak 95 peratus daripada RM630 juta pada 2011 lalu,” ucapnya ketika hadir merasmikan Mesyuarat Tahunan Persatuan Syarikat Perindustrian Bebas (Frepenca) Pulau Pinang di sini baru- baru ini.

Tambah Guan Eng, beberapa perkhidmatan yang berintensif pengetahuan (knowledge-intensive services) adalah spin-off dari sektor
pembuatan dan Pulau Pinang akan terus menggembleng kemahiran bagi menarik kemasukkan pelabur dan penggiat industri yang bernilai tinggi.

Walaupun kita (Pulau Pinang) menumpukan pada pertumbuhan sektor perkhidmatan, namun, sektor pembuatan turut diberi penekanan sebagai asas untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan.

“Hal ini kerana, sektor pembuatan mendapat permintaan tinggi terutama dalam lapangan yang menyumbang kepada pertumbuhan dan produktiviti subsektor perkhidmatan seperti kewangan, telekomunikasi dan pengangkutan,” jelas beliau.