Gembira, bangga jadi sukarelawan di PPV One Hope

Admin
MUHAMMAD Faris Ibrahim sedang meramahi seorang individu yang bakal mendapatkan vaksin di PPV One Hope dekat Shop-in D’Park Autocity di sini pada tengah hari ini.

BUKIT TENGAH – DUA mahasiswa antara 20 Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia (MyVac) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) One Hope Charity and Welfare (One Hope) dekat Shop-in D’Park Autocity.

 

MUHAMMAD Faris Ibrahim

MUHAMMAD FARIS IBRAHIM, 24, mahasiswa Fakulti Pengajian Kimia dan Teknologi Bio Kejuruteraan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MICET) dekat negeri Melaka memberitahu bahawa beliau akan menjadi sukarelawan di PPV kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selama 20 hari sahaja.

 

“Pada mulanya saya berhasrat untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan di PPV Awam yang dikendalikan secara langsung di bawah KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), PPV PIKAS (Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta) juga bukan pilihan saya.

 

“Apabila saya mendapat tahu bahawa NGO (One Hope) ada membangunkan PPV di sini, kebetulan tidak jauh dari rumah saya di Bukit Mertajam, saya mengambil kesempatan memohon untuk menjadi sukarelawan.

 

“Sejak PPV One Hope ini dibuka semalam (26 Julai 2021), saya dapati suasana di sini sama sekali berbeza dengan PPV awam dan PPV PIKAS di kawasan kilang yang lain.

 

“Selain kapasiti pemberian suntikan vaksin harian yang tidak begitu ramai tiap-tiap hari, semua kita boleh mencerap bunyi kicauan burung dan deru angin, seolah-olah kita masuk ke sebuah PPV yang berada dalam taman tema atau mini zoo,” jelasnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di sini pada 27 Julai 2021.

 

SEORANG warga emas diiringi pengiring disantuni oleh seorang sukarelawan di pintu masuk PPV One Hope di sini tadi.

Difahamkan, kapasiti pemberian vaksin harian pada hari pertama operasi PPV kendalian NGO tersebut semalam adalah seramai 178 orang, sementara hari ini seramai 189 orang.

 

Kira-kira 20 orang petugas kesihatan KKM turut terlibat dalam pengoperasian PPV NGO berkenaan.

 

Bercerita lanjut, Muhammad Faris memberitahu bahawa esok PPV berkenaan dijangka menerima lebih 300 orang awam, yang telahpun mendapatkan janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

 

“Sebagai mahasiswa, sudah tentu saya juga terpanggil untuk mengambil bahagian dalam menjayakan PICK ini.

 

“Semasa mengambil keputusan untuk menjadi sukarelawan di bawah MyVac, saya tidak mempunyai ekspektasi yang tinggi, sebaliknya saya membayangkan PPV yang dibuka oleh NGO ini mungkin akan memberi tumpuan pada gender tertentu seperti OKU (orang kurang upaya).

 

“Seperti dijangka, apabila melihat di pintu masuk utama telah ada kerusi roda, yang sudah tentu memerlukan tenaga sukarelawan, saya berasa gembira dan bangga kerana dapat mengambil bahagian dalam memberi khidmat bagi menjayakan PICK ini,” jelasnya lagi.

 

Berbaki pengajian kira-kira tiga tahun lagi, calon pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia itu memberitahu sesi pengajian secara dalam talian bagi semester baharu bermula pada 7 Ogos depan.

 

WOON Rou Tiau

Berusia 20 tahun, WOON ROU TIAU yang merupakan mahasiswi Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Kuala Lumpur berkata bahawa beliau turut berbangga kerana dipilih untuk menjadi sukarelawan di PPV kendalian One Hope.

 

“Kira-kira setahun saya telah menempuhi kuliah peringkat Universiti Awam secara dalam talian, tidak ada proses pengajian secara bersemuka dan ini merupakan antara pengalaman yang dilalui dalam normal baharu.

 

“Apabila mendapat tahu bahawa ramai kawan-kawan sebaya di universiti mengambil bahagian sebagai sukarelawan di bawah MyVac, saya segera memohon juga di sini (Shop-in D’Park Autocity) kerana tidak jauh dari rumah saya dekat Bukit mertajam.

 

“Semasa cuti semester, kami mahasiswa memang tidak ada sebarang aktiviti, selain terus duduk di rumah untuk membantu kerajaan memutuskan semua rantaian perebakan COVID-19.

 

“Jadi, dengan dorongan kawan-kawan Universiti serta saya tiada sebarang aktiviti di rumah, saya segera memohon untuk menjadi sukarelawan serta berasa begitu gembira dan bangga kerana dipilih berkhidmat di sini,” katanya yang turut berkongsi bahawa beliau akan menjadi sukarelawan MyVac selama dua bulan.

 

WOON Rou Tiau (kanan) sedang mengemas kini data maklumat salah seorang individu yang bakal menerima suntikan vaksin di PPV One Hope di sini tadi.

Ditanya mengenai perasaannya setelah dua hari berkhidmat di PPV kendalian One Hope, beliau berkata bahawa paling penting semua pihak mesti mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

 

“Kalau difikirkan perasaan takut dan bimbang, saya yang menganggap diri sebagai sebahagian anggota barisan hadapan di sini juga berasa bimbang dengan risiko kerana terlibat membantu orang awam yang mahu mendapatkan vaksin di sini.

 

“Tetapi, semua kita tahu bahawa untuk memastikan negara dan negeri ini kembali bebas daripada ancaman COVID-19, populasi (dewasa) mesti melepasi 80 peratus, baru melepasi imuniti kelompok.

 

“Maka, untuk mencapai semua ini…memerlukan lebih ramai tenaga sukarelawan termasuk mahasiswa untuk kerja-kerja teknikal seperti mengemas kini data dan sebab itu saya memohon (menjadi sukarelawan di bawah MyVac),” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada One Hope kerana memilih beliau sebagai sukarelawan di sini.

 

BEBERAPA sukarelawan ditempatkan di pintu masuk PPV One Hope sebagai ejen pemudah cara kepada mereka yang bakal mendapatkan vaksin di sini.

25 Julai lepas, Pengerusi One Hope, CHUA  SUI HAU dilaporkan mengumumkan bahawa NGO tersebut akan melaburkan lebih RM2 juta bagi membangunkan sebuah PPV di sini dengan kapasiti pemberian vaksin kira-kira 360 orang dan mungkin akan ditingkatkan hingga 1,000 suntikan sehari bergantung pada keperluan serta PICK pada masa akan datang.

 

Dalam perkembangan lain, Buletin Mutiara pada awal pagi turut menjejaki seorang individu yang secara sukarela menyediakan van sendiri bagi membawa penumpang sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Puyu ke PPV berkaitan.

 

OOI Cheng Poh sendiri pandu van yang tertera pelekat MPKK Thamby Kecil, menawarkan perkhidmatan pengangkutan ke PPV buat penduduk lokal sekitar KADUN Sungai Puyu.

OOI CHENG POH, 62, pada mulanya enggan berkongsi kisah kerana menganggap program amal tersebut bukan tujuan mencari publisiti.

 

Namun, setelah dipujuk, beliau yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Thamby Kecik bersetuju jua.

 

“Semua orang pun takut pada risiko wabak COVID-19 tetapi kena ada orang memikul tanggungjawab ini (iaitu membawa mereka yang ada temu janji ke PPV berkaitan), menolong mereka dalam keadaan pandemik ini.

 

“Saya menjadi pemandu secara sukarela, membantu bawa penduduk dari KADUN Sungai Puyu ke PPV, setiap minggu enam hari secara percuma,” ringkas penjelasannya.

OOI Cheng Poh sedang membuat persiapan beg bekalan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas di sekitar kawasan MPKK Thamby Kecil di sini.

Di samping itu, beliau turut berkongsi cerita mengenai amalan sanitasi yang dilakukannya tiap-tiap hari memandangkan van tersebut digunakan untuk mengangkut penduduk lokal.

 

“Kita jaga kita, nak selamat saya mesti jaga diri dan mesti memastikan kenderaan ini juga selamat untuk semua.

 

“Jadi, apa yang saya boleh buat adalah sanitasi van ini sebelum menghantar mereka yang perlukan bantuan ke PPV.

 

“Semua penduduk mesti dapat janji temu terlebih dahulu, baru boleh saya bantu mereka,” jelasnya yang berharap negara dan negeri ini segera bebas daripada wabak COVID-19.

 

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS