Sokong hasrat capai imuniti kelompok, umum kongsi pandangan

Admin

GEORGE TOWN – Bagi mencapai sasaran 100 peratus pemohon vaksin menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan pada bulan September, Pulau Pinang kini menggembleng usaha mempercepatkan kadar pemberian vaksin iaitu daripada 15,000 dos sehari berdasarkan data bulan Jun 2021 kepada 40,000 dos sehari.


Malah sasaran juga diletakkan untuk mencapai 40 peratus pemberian dos kedua menjelang hujung Ogos 2021. Walau bagaimanapun, sasaran ini bergantung sepenuhnya terhadap bekalan vaksin ke Pulau Pinang.

 

Hari ini, Buletin Mutiara cuba mendapatkan maklum balas umum berhubung kadar vaksinasi dan hasrat Pulau Pinang untuk mencapai imuniti kelompok dalam waktu terdekat ini.


ANG MING QUAN, bekerja sendiri, memaklumkan bahawa ahli keluarganya mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin demi menyokong negeri Pulau Pinang mencapai imuniti kelompok.


“Saya berharap pada penghujung tahun ini, bukan sahaja negeri tetapi juga negara kita mampu capai 100 peratus penerimaan vaksin kepada semua yang mendaftar supaya kita dapat jalani hidup lebih baik daripada sekarang,” katanya.


Bagi Penyelaras Sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di SPICE Arena, Ridzuan Abd. Halim, beliau berpendapat bahawa PPV mega perlu diperbanyakkan di negeri ini berdasarkan perkara yang disuarakan orang ramai.


“Ada pihak yang mengeluh terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan suntikan vaksin terutamanya yang sudah mendaftar sejak Februari lalu.

 

“Ada juga yang nyatakan bahawa dalam kalangan umur lebih 50 tahun belum dapat janji temu vaksin, lebih membimbangkan ada yang ragu-ragu sekiranya aplikasi sedia ada gagal mengesan permohonan vaksin dikemukakan,” ujarnya melalui perbualan telefon pagi ini.

Pengamal media, CHAN CHIN HOO ketika dihubungi berpendapat bahawa kadar vaksinasi 30,000 hingga 40,000 dos sehari di Pulau Pinang adalah terbaik.


Jelasnya, terdapat negeri yang cuma berada pada kadar 12,000 dos sehari.

 

“Saya yakin kadar vaksinasi disasarkan Kerajaan Negeri iaitu 100 peratus dos satu pada September dan 40 peratus dos kedua pada hujung Ogos mampu dicapai.

 

“Sekiranya semua berjalan lancar saya percaya sektor-sektor ekonomi di negeri ini boleh dibuka semula untuk kebaikan rakyat.

 

“Program vaksin juga diharap dapat dipercepatkan kepada peniaga-peniaga kecil yang sering terdedah dengan orang ramai dan risiko jangkitan mereka agak tinggi,” sarannya.


Seorang lagi penerima vaksin melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), SITI ASMAH MD AKHIR, menzahirkan rasa syukur apabila kerajaan berusaha mempercepatkan proses pemberian vaksin melibatkan sektor perkilangan.


“Seperti mana diketahui sektor perindustrian seperti kilang kerap menjadi kecaman warganet ekoran wujudnya kluster-kluster bagi sektor berkaitan.

 

“(Dan) dengan adanya vaksin pada peringkat ini (sektor perkilangan) saya harap ia mampu menurunkan jumlah kes harian di Pulau Pinang,” katanya yang telah menerima dos pertama di PPV Jabil Circuit semalam.

 

Pegawai Farmasi, NURUL HAFIZAH ISKHAK dalam responsnya menyatakan inisiatif di Pulau Pinang amat baik dalam mempercepatkan tercapainya  imuniti kelompok.


“Sebagai cadangan banyakkan aktiviti ke kawasan luar bandar atau perkampungan untuk membantu mereka yg kurang berupaya mendaftar utk vaksinasi dan juga memudahkan pendaftaran vaksinasi bagi golongan yg tercicir.

 

“Ramai juga antara masyarakat masih tidak tahu tentang keperluan dan kepentingan vaksin COVID-19 ini, oleh itu pentingnya pendedahan kepada masyarakat diperluaskan menggunakan medium yg lebih mudah seperti radio atau bantuan badan bukan kerajaan (NGO) setempat,” ujar kakitangan awam tersebut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD