Gembleng 50 bakat jayakan projek mural atas bahu jalan

BAGAN JERMAL – Mural biasanya dilukiskan pada dinding bangunan kosong sebagai tarikan umum dan Perbadanan Belia Pulau Pinang (PYDC) pula melakukan projek melukis pada bahu jalan dengan melibatkan hampir 50 bakat dalam kalangan belia negeri.

Terbaru, agensi negeri itu berjaya menggerakkan sekumpulan belia negeri secara sukarela bagi menjayakan projek Blank Canvas Taman Riang Mural Art sepanjang kira-kira 50 meter (m).

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal sendiri menyempurnakan majlis berkaitan, serentak dengan acara penyerahan sijil penghargaan kepada para sukarelawan belia terbabit.

“Memang ada banyak ‘mural art’ di dinding, tapi kita cuba kelainan ‘mural art’ di atas bahu jalan pula untuk tarikan kepada pejalan kaki.

“Ini, merupakan projek mural di atas bahu jalan yang pertama di negeri ini.

“(Dan) dengan penggemblengan kira-kira 50 sukarelawan bukan sahaja melambangkan Kerajaan Negeri melalui PYDC begitu menghargai bakat dalam bidang seni, malah sekali gus membolehkan semua bakat belia negeri berkenaan kembali menyumbang ‘sesuatu’ kepada komuniti negeri,” jelasnya kepada pemberita sebelum menyempurnakan acara perasmian majlis berkaitan di sini pada 23 Januari 2022.

Tambah beliau lagi, selain projek mural terdapat projek penarafan lain di taman rekreasi Taman Riang termasuk pemasangan kemudahan lampu limpah secara automatik bermula jam 7:00 malam hingga 7:00 pagi bagi menambahkan lagi kawasan rekreasi malam yang diperlukan oleh komuniti lokal.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang berucap dalam acara berkaitan selepas pada itu memuji usaha Kerajaan Negeri hari ini dalam meningkatkan kualiti hidup komuniti lokal.

“Pada hari ini, kita (rakyat Malaysia di Pulau Pinang) boleh lihat apa perbezaannya apabila Seberang Perai yang dulu bertaraf (Majlis) Perbandaran (Seberang Perai, MPSP) menjadi (Majlis) Bandaraya Seberang Perai, MBSP) pada hari ini.

“Kita dapat lihat tanda penarafan seperti kemudahan komuniti lebih baik untuk komuniti setempat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada MBSP kerana membiayai projek penarafan laluan pejalan kaki di Taman Rekreasi Taman Riang sebelum ini.

Sementara itu, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling pula memberitahu bahawa pihaknya turut menggembleng sekumpulan belia yang berbakat dalam dalam sebelum ini bagi menjayakan projek mural menarik di Penanti dan Taman Impian.

Di samping itu, beliau turut memberitahu bahawa projek melukis mural atas bahu jalan adalah ilham dan syor daripada Lip Chee sendiri.

Dua Ahli Majlis bagi MBSP, David Ng Yee Siang dan Bernard Cheen Goon Hooi; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Riang / Kampung Kastam; Noor Idwandi Osman; Timbalan Pengerus Besar PYDC, Ng Hooi Ting; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Mengkuang, Mahazer Abdul Manaf antara yang hadir bersama-sama kira-kira 150 pengunjung bagi menjayakan acara perasmian projek PYDC tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB