George Town, Kawasaki tandatangan MoU ‘teknologi hijau’

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Perjanjian persefahaman (MoU) antara George Town dan Bandar Kawasaki dekat Jepun diharap dapat membantu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengembangkan pengalaman serta teknologi pengurusan sisa kepada tenaga di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yoew berkata demikian selepas selesai satu bengkel bersama-sama wakil negara matahari naik itu.

“Melalui perjanjian ini, kita (Kerajaan Negeri) lebih mudah untuk memindahkan pengalaman serta inovasi teknologi (dari bandar) Kawasaki ke kedua-dua PBT (pihak berkuasa tempatan) di negeri ini,” ujar beliau pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Delegasi Jepun diketuai Dr. Akira Agihara, iaitu Pengurus merangkap Ketua Penyelidikdi Institusi Penyelidikan Alam Sekitar Kawasaki yang berpengkalan di Bandar Kawasaki, Jepun.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP), Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha MPSP) antara kepemimpinan negeri yang hadir dalam bengkel tersebut.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar berkata, Pulau Pinang tidak mempunyai kesulitan untuk saling berkongsi pengalaman dengan bandar tersebut memandangkan Kerajaan Negeri serta keduadua PBT komited dengan agenda ‘Rumah Hijau’ yang dilaksanakan di bandar Kawasaki.

Malah, katanya lagi, Kerajaan Negeri turut berminat untuk berkongsi pengalaman mengenai program-program kitar semula serta pemuliharaan semula alam semula yang telahpun dilancarkan sejak Mac 2008 sebagaimana dimaktubkan dalam MoU tersebut.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Dr. Akira dalam sidang media yang sama. Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan komitmen pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam merealisasikan kempen ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.