Tahun kelima anjur Walk For Sight & Sound 2013

Oleh: SITI FAIRUZ YAHAYA


GEORGE TOWN – Kelab Lion untuk tahun kelima menganjurkan Walk For Sight & Sound 2013 bagi mengumpul dana kebajikan untuk St. Nicholas Home (SNH).

Majlis amal itu akan diadakan pada 6 Oktober depan bermula jam 7:00 pagi bertempat di Taman Perbandaran Pulau Pinang di sini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Abdul Rahman Abbas dijadualkan merasmikan majlis amal itu.

“Ini adalah program terbaik kerana tidak meminta apa-apa sumbangan dari kerajaan negeri,” seloroh Chong Eng yang  juga AhliDewan
Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Sebelum itu, pengerusi penganjur yang mahu dikenali sebagai Christina berkata, majlis amal itu diharap dapat menyemarak kesedaran
berhubung ketidakupayaan penglihatan serta pendengaran orang awam terhadap golongan belia dan pelajar SNH.

Ujarnya, sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, menyediakan peralatan serta kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) di rumah anak yatim tersebut.

Beliau berkata, peserta majlis amal itu akan berjalan sejauh 3.8 kilometer secara berpasang-pasangan dengan mata salah seorang bertutup.