GEORGE TOWN – Fenomena unik ‘Gerhana Bulan Berdarah’ yang bakal berlaku hari ini dijangka bermula pada 7.33 malam hingga 9.17 malam dan menjadi tumpuan utama menerusi Program Outreach Falak anjuran Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, penganjuran kali ini melibatkan beberapa jabatan kerajaan lain, antaranya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera (UPIFSA), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Pusat Pengajian Sains Fizik, USM.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali, diiringi Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman hadir menyempurnakan acara perasmian Program Outreach Falak 2026.

Timbalan Mufti Negeri, Sahibus Fadilah Mohamad Zamri Mohamed Shapik, yang ditemui kemudian menjelaskan bahawa inisiatif penganjuran program tersebut bertujuan menjadikan fenomena falak sebagai satu kesedaran menyeluruh di seluruh pelosok negeri, sekali gus memperkasa ilmu astronomi dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurutnya, fenomena gerhana bulan penuh kali ini dianggap istimewa kerana berlaku dalam bulan Ramadan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan solat tarawih.
“Gerhana kali ini dikenali sebagai ‘Bulan Berdarah’ kerana warnanya yang kemerahan.
“Ia dijangka bermula pada jam 7.33 malam hingga 9.17 malam, iaitu tempoh kira-kira satu jam 44 minit.
“Disebabkan keunikan ini, kami bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk menggalakkan masjid-masjid di seluruh negeri mendirikan solat sunat gerhana, lazimnya selepas solat Maghrib sebelum diteruskan dengan tarawih,” katanya ketika ditemui di tapak cerapan gerhana bulan di perkarangan Masjid Bukit Bendera di sini, pada 3 Mac 2026.
Buletin Mutiara difahamkan, Program Outreach Falak kali ini turut menerima penyertaan kelab falak dari empat buah sekolah perintis, iaitu Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS), Maahad Al-Mashoor Al-Islami (Balik Pulau), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Ahmad Badawi dan Sekolah Kebangsaan Bertam Perdana.
Mengulas lanjut, Mohamad Zamri berkata bahawa penglibatan kelab falak ini sekali gus menepis persepsi sempit bahawa ilmu falak hanya berkaitan penentuan waktu solat dan hari raya semata-mata.
“Ilmu falak adalah sains yang luas, merangkumi aspek kehidupan seperti pasang surut air laut dan ramalan cuaca.
“Kita mahu mendidik generasi muda bahawa astronomi adalah tanda kebesaran Allah, bukannya medium untuk ramalan nasib yang bercanggah dengan syarak,” tambahnya.
Beliau turut memberitahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah meninggalkan petunjuk sunnah untuk diteladani umat Islam.
“Selain menyaksikan fenomena gerhana ini sebagai salah satu tanda kebesaran Allah S.W.T sebagai Pencipta dan Pemilik alam ini, Rasulullah S.A.W mengajak umat untuk mendirikan solat khusuf, berdoa dan mendengar khutbah bagi mengingati keagungan penciptaan alam semesta.
“Adab-adab yang diajar oleh Rasulullah S.A.W ini mengandungi pelbagai hikmah, antaranya Islam menafikan kepercayaan karut yang mengaitkan gerhana dengan kematian atau bala.
“Sesungguhnya fenomena gerhana bulan penuh ini adalah bukti bagaimana Allah S.W.T mengatur bumi, matahari dan bulan berada dalam satu garis lurus yang sempurna,” jelasnya.
Ditanya lanjut, Mohamad Zamri turut menjelaskan sebab ahli falak melewatkan kira-kira empat minit waktu berbuka puasa Ramadan di puncak Bukit Bendera berbanding waktu masuk Maghrib bagi kawasan lain di Pulau Pinang.
Menurutnya, kawasan tinggi seperti puncak bukit atau bangunan pencakar langit mungkin mengalami kelewatan waktu berbuka sehingga empat minit berbanding kawasan rendah.
“Hal ini kerana kedudukan matahari masih kelihatan di ufuk bagi kawasan tinggi, manakala kawasan rendah sudah pun gelap,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bahawa Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang mempunyai perancangan lebih besar berbanding penganjuran Program Outreach Falak seperti yang diadakan pada petang ini.

Menurutnya, pusat falak sedia ada di bawah Jabatan Mufti Negeri berpotensi dijadikan produk ‘Astro-Tourism’ di Pulau Pinang sekiranya terus diperkasa.
“Kita turut mengintai peluang untuk mengangkat bidang astronomi sebagai salah satu produk pelancongan baharu di negeri ini melalui konsep ‘Astro-Tourism’.
“Satu kertas cadangan telah dikemukakan kepada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif bagi membangunkan pusat falak sedia ada sebagai pusat tarikan pelancong yang setanding dengan mercu tanda sains angkasa lain.
“Hasrat kami adalah untuk menjadikan pusat falak ini sebagai sebahagian daripada pengisian pelancongan negeri, yang mana pelancong bukan sahaja dapat mempelajari sains angkasa, malah dapat melihat sendiri peranan dan sumbangan besar tamadun Islam dalam memajukan ilmu astronomi.
“Walaupun skalanya mungkin tidak sebesar Planetarium Negara di Kuala Lumpur, kita mahu memastikan pusat falak ini mampu menjana pendapatan kepada Kerajaan Negeri sambil menyebarluaskan pendidikan falak kepada masyarakat umum,” katanya.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB