Gilap bakat anak istimewa – Zairil

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN LILIAN

GEORGE TOWN – Kecacatan tidak menghalang tiga insan istimewa ini untuk terus maju jaya dan membina masa depan yang baik.

Mereka, Boo Xin Ying, 20, Lim Jia Wen, 20, dan Jimmy Teoh Hoong Yang, 21, masing-masing cacat penglihatan.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang meluangkan masa bersama mereka di St. Nicholas Home berkata, tanggapan masyarakat terhadap anak-anak istimewa yang tidak mampu berbuat apa-apa adalah ternyata salah.

“Melihat kebolehan dan keupayaan ketiga-tiga insan istimewa ini dalam seni muzik merupakan sesuatu yang unik dan perlu terus digilap agar suatu hari nanti mereka akan dikenali sebagai golongan berpotensi tanpa batasan,” ucapnya pada majlis khas diadakan di sini baru-baru ini.

Beliau yang hadir memberi sokongan moral berharap penyertaan Xin Ying, Jia Wen dan Hoong Yang dalam Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Mandarin Remaja sempena Pesta Pulau Pinang 2014 dapat memberi persepsi yang positif terhadap golongan kurang upaya (OKU) berkenaan.

Hadir sama pada pertemuan tersebut, Pengarah Eksekutif St. Nicholas Home, Daniel Soon. Xin Ying, Jia Wen dan Hoong Yang bukan sahaja mempunyai bakat dalam nyanyian, tetapi juga pandai bermain gitar dan piano.