Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD
GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyatakan bahawa adalah penting bagi rakyat mengetahui punca sebenar sumber makanan yang dimakan setiap hari sebagai jaminan tahap kebersihannya.
Hal demikian diulas bersempena penganjuran forum diskusi minda, ‘From Farm To Stomach’ anjuran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sini baru-baru ini.
Jelas Afif, pengguna ‘terakhir’ lazimnya mempunyai hak untuk mengetahui asal-usul produkproduk makanan di pasaran berhubung aspek penjagaan serta penekanan kebersihan.
“Sebelum ini, terdapat kes penutupan kilang roti di Pulau Pinang, ada orang bertanya, tak kan tak boleh tolong kes ni? Saya cakap boleh, dengan syarat bersihkan premis dan kilang, dengan itu, JKNPP pun tiada masalah untuk beri kebenaran beroperasi semula.
“Begitulah pentingnya fungsi Kerajaan Negeri, yang mana kita akan beri kerjasama tanpa kompromi berhubung hal-hal membabitkan kebersihan pembuatan makanan,” katanya pada sesi diskusi yang diadakan di sini.
Turut hadir sebagai panel adalah wakil dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Veterinar Pulau Pinang dan Bahagian Penguatkuasaan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Pulau Pinang.
Selain pengusaha-pengusaha makanan, turut hadir sebagai peserta dalah pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.