Go Cashless, komited wujud masyarakat celik digital

Admin

KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri komited untuk terus menggalakkan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan penduduk negeri ini, sekaligus mewujudkan masyarakat celik digital dalam peluasan penggunaan transaksi tanpa tunai.

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, usaha mendidik penggunaan bayaran tanpa tunai bukan suatu perkara baharu.

 

“Ini jelas terbukti apabila transaksi tanpa tunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion pada tahun 2021, berbanding RM29.6 bilion pada tahun 2020.

 

“Kita di Pulau Pinang sendiri telahpun melaksanakan program-program Inisiatif Tanpa Tunai sejak tahun 2020.

 

“Malah Jawatankuasa Pemandu Inisiatif Tanpa Tunai juga telah ditubuhkan di peringkat negeri bagi memantau secara berkala pencapaian prestasi pembayaran tanpa tunai melibatkan semua jabatan dan agensi negeri,” ujarnya bersempena Karnival Go Cashless Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Dewan Padang Tembak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat sini pagi tadi.

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Nur ‘Aisyah Md. Norodin.

 

Kon Yeow dalam pada itu berharap Karnival Go Cashless tersebut akan mencapai sasaran untuk menarik semua lapisan masyarakat terutamanya warga emas dalam menyahut perubahan ekosistem ekonomi transaksi tanpa tunai.

 

“Kesemua aktiviti yang dijalankan ini menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat khususnya penduduk PAKR Padang Tembak supaya mereka dapat mengamalkan gaya hidup digital yang mudah dan cepat.

 

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa bermula 1 September 2022, semua jenis penerimaan bayaran di LPNPP akan diwajibkan pemakaian bayaran tanpa tunai seperti mod FPX, kod QR dan Self Service Terminal (kad  debit/kredit) di kaunter-kaunter perumahan.

 

“Bayaran tanpa tunai ini termasuk bayaran sewa dan selenggara di Perumahan Awam Kos Rendah, bayaran deposit untuk unit sewa beli, bayaran daripada Badan Pengurusan bagi permohonan bantuan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) dan lain-lain,” jelasnya merangkap Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD