Golongan muda perlu menghayati sejarah dalam memupuk semangat cintakan negara, saran ADUN

BAGAN DALAM – Keputusan Kerajaan Persekutuan meletakkan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah adalah bertepatan dalam memupuk semangat cintakan negara, saran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees.

Bagaimanapun katanya, mata pelajaran Sejarah tidak harus dilihat hanya sebagai syarat lulus peperiksaan semata-mata sebaliknya perlu dihayati lebih mendalam demi perkembangan generasi akan datang.

“Sejarah adalah mata pelajaran yang penting bukan hanya semata-mata wajib lulus untuk mendapatkan sijil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) malah perlu dihayati dan mengambil pengajaran isi yang terkandung di dalamnya.

“Sejak 10 tahun lepas golongan muda dilihat begitu kurang menghayati sejarah sedangkan jika dilihat kepada tamadun-tamadun hebat dunia seperti Mesopotamia, Mahenjo Daro (Lembah Indus), Tamadun Cina dan sebagainya terus kekal disebut sehingga hari ini kerana mereka mempunyai rekod sejarah.

“Oleh itu, saya berharap agar bangsa Malaysia juga akan terus menghayati dan mencintai sejarah tanah air supaya negara kita juga terus kekal dalam peta dunia,” ujarnya ketika berucap pada program Sumbangan Buku Sejarah dekat Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Butterworth, di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), K. Kumaran; Pengetua SMK Convent Butterworth, Lim Lean Yolk; guru-guru dan para pelajar.

Sebahagian pelajar menunjukkan sumbangan buku Sejarah Target A+ yang disumbangkan oleh ADUN Bagan Dalam.

Pada majlis itu, sebanyak 300 buah buku Sejarah Target A+ diserahkan kepada pelajar-pelajar dari dua buah sekolah iaitu SMK Convent Butterworth dan SMK Taman Inderawasih, Perai yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Mengulas lanjut, Satees berkata, Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) juga merupakan sejarah penting yang memperlihatkan bagaimana Malaysia telah mencapai puncak demokrasi selepas rakyat di negara ini berjaya menukar kerajaan terdahulu dengan cara yang paling aman.

“Di negara-negara lain cukup susah untuk menukar kerajaan memerintah sehingga ada yang terpaksa melalui perang saudara dan kita (rakyat Malaysia) sangat bertuah kerana kita mencatat sejarah hanya melalui peti undi.

“(Dan) saya berharap agar di bawah pemerintahan kerajaan baru (Pakatan Harapan), institusi-institusi penting seperti institusi pendidikan dapat ditransformasikan secara menyeluruh demi kepentingan generasi akan datang,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD