Had tempoh perkhidmatan Ketua Menteri selama dua penggal bakal dibentang di DUN, November ini

Admin

GEORGE TOWN – Syor pelaksanaan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal bakal dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang November ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sesi temubual eksklusif bersama-sama pihak media perdana dekat pejabatnya di sini sebentar tadi.

Kon Yeow ketika ditanya berhubung syor tersebut berkata, perkara itu sememangnya termaktub di dalam Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu.

Menurutnya, setelah Kerajaan Negeri berjaya kembali membentuk kerajaan, perkara tersebut telah dibincangkan dan mesyuarat Exco telah membuat keputusan dasar untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dalam persidangan DUN, bulan depan.

“Perlembagaan ini dipinda untuk memasukkan klausa had tempoh dua penggal bagi mana-mana ahli dewan yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri.

“Fasa sedia ada adalah Yang di-Pertua Negeri (TYT) melantik seorang ahli dewan yang dipercayai mendapat sokongan majoriti ahli-ahli dewan lain.

“Tetapi, apa yang dicadangkan adalah penambahan, TYT ‘akan melantik seorang yang tidak pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ketua Menteri’,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebagai penjelasan Kon Yeow memberitahu bahawa definisi tempoh satu penggal penuh bermula sebaik sahaja pelantikan Ketua Menteri dibuat sehingga DUN dibubarkan semula, dan ianya akan mula berkuatkuasa selepas PRU-14.

Kelmarin, Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan syor tempoh jawatan bagi PM, Menteri Besar dan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja sebagai langkah segera mereformasikan sistem politik negara.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Kelima Pulau Pinang menyatakan bahawa sepucuk surat juga telah diutuskan kepada PM bagi menyatakan niat serta hasrat Kerajaan Negeri untuk membuat pindaan ke atas Perlembagaan.

Malah, ulasnya, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga turut merujuk perkara tersebut kepada Peguam Negara pada Ogos lalu.

“Berdasarkan maklum balas dan ulasan diterima menyatakan bahawa apa yang diguna pakai adalah sama seperti syor daripada beliau (Peguam Negara) sendiri iaitu bagaimana fasa itu dibentuk.

“Mungkin setelah kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) berjaya melaksanakannya, negeri-negeri lain dapat merujuk bagaimana kita (Kerajaan Negeri) membuat pindaan kepada perlembagaan ini,” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALVIE CHENG