Golongan rentan terus dapat pembelaan Kerajaan Negeri

Admin
img 20260204 wa0069

BUKIT TAMBUN – Nasib golongan rentan di negeri ini terus mendapat pembelaan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Negeri Pulau Pinang.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama JKM negeri komited melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan tiada mana-mana pihak yang tercicir atau terpinggir dalam masyarakat selaras dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas pembangunan negeri.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru agar menyalurkan maklumat kepada Kerajaan Negeri atau JKM sekiranya mengetahui kewujudan individu atau keluarga yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing, supaya tindakan dan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.

“Kerjasama daripada orang awam khususnya Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disampaikan mengikut keperluan sebenar mereka,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika program Jelajah Manfaat Rakyat Bersama Pegawai Khidmat Masyarakat Daerah (PKMD) Seberang Perai Selatan sempena Tahun Baharu Cina dekat sini pada 3 Februari lalu.

img 20260204 wa0074

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim serta pegawai-pegawai JKM Pulau Pinang.

Mengulas mengenai program jelajah tersebut, Siew Khim memaklumkan bahawa seramai tiga individu memerlukan telah dikenal pasti sebagai penerima bantuan daripada JKM negeri.

Menurutnya, individu pertama yang dikunjungi adalah membabitkan penama seorang lelaki berusia 60 tahun, Low Soom Lee di Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal.

img 20260204 wa0062

“Penama tidak boleh bekerja ekoran terpaksa menjaga ibunya, Tan Sai Lan, 87 tahun yang menghadapi sakit tua.

“Disebabkan keadaan yang uzur, ibu penama perlu memakai lampin pakai buang pada setiap masa dan meminum susu setiap dua jam sekali serta tidak boleh menguruskan diri.

“Selain ibunya, penama juga tinggal bersama dua lagi adiknya yang bekerja sebagai pekerja kontrak dan tukang cat dengan anggaran pendapatan masing-masing sebanyak RM1,500 hingga RM1,800,” katanya sambil menambah bahawa penama tidak pernah menerum sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Siew Khim berkata, penama yang mempunyai pendidikan formal sehingga darjah enam turut menghidap beberapa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi tinggi dan kolestrol.

Susulan itu, beliau berkata penama disyorkan menerima bantuan penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar/pesakit kronik terlantar sebanyak RM500 sebulan mulai Februari 2026 hingga Januari 2027,” jelasnya.

Siew Khim berkata, penama kedua yang turut dibantu melalui Jelajah Manfaat Rakyat kali ini merupakan lelaki berstatus OKU, Tan Chin Hwa, 58 tahun yang tinggal menumpang di rumah abangnya di Taman Ketitir, Sungai Bakap.

img 20260204 wa0065

Susulan penyakit yang dihidapinya, penama kini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan kewangan dan sokongan dari abangnya.

“Penama merupakan individu OKU yang tidak berupaya bekerja ekoran kedua-dua belah jari kaki terpaksa dipotong akibat penyakit diabetes, selain mengalami masalah buah pinggang dan mata kabur.

“Oleh itu, penama telah disyorkan menerima bantuan penjagaan OKU kronik tidak terlantar sebanyak RM500 sebulan selama setahun mulai Februari 2026,” katanya.

Lawatan ketiga pula membabitkan penama yang menghidap penyakit stroke, Chye Yee Leng, 47 tahun di Simpang Ampat di sini.

img 20260204 wa0071

Menurut Siew Khim, penama telah ditinggalkan suami sejak menghidap penyakit itu menyebabkan dia terpaksa menguruskan diri sendiri.

“Sebelum diserang stroke, penama pernah bekerja sebagai pelukis corak kuku palsu dengan kadar purata upah sekitar RM700.

“Penama mempunyai seorang anak yang masih bersekolah tetapi pada masa sama terpaksa bekerja senagai guru Taska untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Siew Khim berkata, selain bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh setahun, pihak JKM juga akan memberikan khidmat kaunseling kepada penama dan anaknya.

“Kami juga bercadang untuk menghantar anak penama untuk menerima latihan kemahiran bagi membolehkan dia mendapat pekerjaan yang lebih baik,” katanya yang juga ADUN Sungai Pinang.

img 20260204 wa0064

Justeru, Siew Khim menzahirkan penghargaan kepada wakil rakyat serta pemimpin komuniti setempat kerana menyalurkan maklumat mengenai golongan rentan yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Choon Aik berkata pihaknya sentiasa akan memberikan sokongan kepada Pejabat Exco Pembangan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam dan JKM negeri bagi memastikan tiada ada golongan yang terpinggi di negeri ini, khususnya di kawasan Bukit Tambun.

“Justeru, kami memerlukan maklumat daripada orang awam sekiranya terdapat golongan yang memerlukan untuk kita bantu mereka,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS