Gotong-royong cegah aedes Flat Hamna

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH

SUNGAI DUA – Sebagai pencegahan penularan kes demam denggi di sekitar Flat Hamna, Sungai Dua di sini, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) terbabit mengambil inisiatif khas menganjurkan Majlis Membasmi Wabak Denggi dan Kem Kesihatan baru-baru ini.

Selain membersihkan longkang- longkang, tumpuan utama adalah mengenalpasti lokasi-lokasi air bertakung.

Majlis disertai kira-kira 50 penduduk sekitar turut dihadiri Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan.

Menurut Afif, majlis tersebut dijalankan atas inisiatif pihak penganjur dalam membersihkan kawasan serta membasmi pembiakkan nyamuk aedes di kawasan terbabit.

“Denggi ini sememangnya bahaya kerana dengan satu sudu air bertakung, nyamuk aedes mampu membiak.

“Komuniti di kawasan ini sewajarnya tidak harus melepas tangan berhubung isu ini, kebersihan menjadi tanggungjawab bersama dan bukan terletak di bahu Kerajaan Negeri semata-mata,” katanya pada ucaptama Majlis Membasmi Wabak Denggi dan Kem Kesihatan di sini baru-baru ini.

Turut diadakan, pameran informasi aedes serta pemeriksaan kesihatan dan darah secara percuma.

Dalam pada itu, Jayabalan menyifatkan program sebegini harus diteruskan kerana ia dapat mendidik penduduk ke arah kebersihan dan sekaligus mencegah pembiakkan nyamuk aedes.