Cegah kanser paru-paru KN gazet 6 zon

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TANJONG TOKONG – Kerjasama semua pihak amat perlu dari semasa ke semasa bagi memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyakit kanser paru-paru yang menjadi ancaman nombor satu kepada kaum lelaki selepas kanser payudara yang menjadi pembunuh utama kaum wanita dalam negara.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, peranan semua pihak amat diperlukan bukan sahaja untuk menarik perhatian masyarakat supaya prihatin dengan bahaya penyakit kanser paru-paru, malah untuk mengambil berat dalam isu berkaitan.

“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah tampil dengan menggazetkan enam kawasan di sini sebagai zon larangan merokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan bertekad untuk mewujudkan lebih banyak zon berkenaan terutama di kawasan menjadi tumpuan awam,” ucapnya dalam perasmian program Charity Fun Walk anjuran Hospital Kanser Mount Miriam (MMCH) dekat sini baru-baru ini.

Program Charity Fun Walk diadakan sempena meraikan bulan November sebagai Bulan Kesedaran Kanser Paru-paru di samping memberi pendedahan kepada umum mengenai bahaya penyakit tidak berjangkit (NCD) berkenaan.

Seramai kira-kira 300 peserta dari pelbagai latar belakang menyertai acara berjalan sejauh tiga kilometer tersebut.

Menurut Afif, hal tersebut adalah bagi melindungi mereka yang tidak merokok terutama wanita dan kanak-kanak dari bahaya asap rokok basi.

“Kajian yang dijalankan mendapati bahawa lebih 70 peratus dewasa terdedah kepada asap rokok basi di tempat awam.

“Masyarakat sebenarnya boleh memantapkan usaha melindungi mereka yang digelar perokok sekunder dari terus terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak pada pihak pentadbiran sahaja,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah MMCH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Dana, Datuk Wong Kam Fuat dalam ucapannya menyatakan bahawa, pihaknya kini dalam usaha mengumpul sejumlah dana bagi membantu pesakit yang memerlukan pembiayaan merawat kanser.

“Sejak 37 tahun lalu, MMCH telah merawat lebih daripada 30,000 pesakit kanser dan telah membantu membiayai rawatan pesakit sehingga RM600,000 ke RM800,000 setahun.

“Malah MMCH turut berkolaberasi dengan beberapa pusat kanser di Pulau Pinang untuk membantu pesakit yang memerlukan bantuan kewangan,” ujarnya.