Gotong-royong serentak basmi aedes

Admin

BATU LANCHANG – Program gotong-royong secara besar-besaran di 47 lokaliti seluruh negeri Pulau Pinang diadakan serentak bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes dan seterusnya membanteras penyakit demam denggi di sini baru-baru ini.

Program gotong-royong di bawah program Penang Sihat tersebut adalah anjuran Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri dan agensi-agensi terlibat.

Afif berkata, walaupun pelbagai usaha dijalankan, namun segalanya akan sia-sia sekiranya tidak mendapat maklum balas daripada komuniti.

“Komuniti perlu sama-sama menjaga kawasan sekitar.

“Kebertanggungjawaban ini perlu untuk mengekang tempat-tempat sensitif pembiakan nyamuk aedes terutamanya mengawal vektor pembawa virus denggi iaitu nyamuk aedes,” ujarnya pada program Gotong- Royong di Taman Hijau di sini baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang.

Dalam pada itu, Afif menambah, sehingga Februari lalu, Jabatan Kesihatan Negeri telah memeriksa 82,627  rumah, kedai, tapak pembinaan, sekolah, kilang, pejabat kerajaan dan swasta, projek rumah terbengkalai, tempat ibadat, tanah perkuburan, tempat pembuangan sampah serta tanah lapang.

“Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 2,062 premis didapati positif tempat pembiakan aedes, di’abate’ (23,753), di’fogging’ (247,897), diberikan notis (86) dan 199 premis dikenakan kompaun (199),” tegas beliau.